"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/Bn: Siasat segera aduan wanita Penan dirogol

Zuraida Kamaruddin

Wanita KeADILan mengutuk sekeras-kerasnya kejadian penderaan seks dan rogol ke atas wanita, gadis dan anak-anak perempuan Penan di Sarawak. Ia mempamerkan bahawa di Malaysia masih wujud era kegelapan yang kekontangan sama sekali sifat kemanusiaan yang dikehendaki dalam memelihara keselamatan dan kehormatan golongan yang lemah, lebih-lebih lagi terhadap kaum minoriti.

Laporan pertama mengenainya terbit pada bulan September 2008 lalu. Ia telah dilaporkan oleh Bruno Manser Fund (BMF) yang berpangkalan di Switzerland.

Sehingga kini, rakyat Malaysia masih menunggu hebahan mengenai laporan penyiasatan yang telah lengkap disediakan pada pertengahan bulan November 2008 oleh task force berkenaan, seperti yang dijanjikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Dr Ng Yen Yen.

Menteri yang baru, Shahrizat Abdul Jalil baru saja menyerahkan laporan tersebut kepada Jamaah Menteri pada 27 Mei lalu.

Apakah yang menghalang kerajaan Malaysia untuk menghebahkan laporan penyiasatan tersebut?

Kelewatan yang bertimpa-timpa ini memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kerajaan atau kerajaan tidak ingin membawa ke pengadilan mereka (didakwa pekerja-pekerja syarikat pembalakan) yang telah dikenalpasti bertanggungjawab mengenai pencerobohan dan keganasan seksual yang keji itu.

Polis Sarawak juga telah didakwa bersikap prejudis atau tidak kompeten dalam menangani permasalahan wanita dan gadis Penan ini.

Tindakan kerajaan yang berdiam diri mengenai permasalahan ini boleh mengakibatkan kemusnahan sosial masyarakat Penan.

Malaysia sebagai penandatangan CEDAW dan Deklarasi Hak Pribumi Bangsa-Bangsa Bersatu wajar prihatin dan progresif dalam memastikan keselamatan fizikal, mental, maruah dan hak warisan setiap rakyat pribumi minoriti dipelihara dengan utuh.

Wanita KeADILan menuntut agar Sharizat Abdul Jalil segera mengedarkan laporan tersebut kepada umum agar dapat diteliti dan bersama mencari penyelesaian terhadap perlakuan sesuka hati pemangsa dalam penderaan dan keganasan seksual ke atas wanita, gadis dan anak-anak Penan yang lemah itu.

Jika Menteri gagal berbuat demikian, ia seolah-olah membenarkan penerusan perbuatan keji itu oleh mereka yang sama sekali telah hilang sifat kemanusiaannya.

---

Zuraida ialah Ketua Wanita KeADILan, yang juga Ahli Parlimen Ampang.


Tiada ulasan: