"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/PR: 1Malaysia Rakyat Dizalimi Umno Didahulukan

Rakyat dizalimi, negeri Pakatan Rakyat didiskriminasi - Anwar
Mohd Khalil Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Hrkh) - Kerajaan dibidas kerana melakukan diskriminasi terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat kerana diberikan peruntukan perkapita paling rendah.

Menurut Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, peruntukan yang diberikan kepada negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Perak dan Kelantan jelas menunjukkan wujud diskriminasi daripada kerajaan persekutuan di bawah kekuasaan Barisan Nasional.

"Ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian oleh Kementerian Kewangan dalam keadaan kita menghadapi kemelut sekarang. Pertama, peruntukan yang diberi kepada negeri-negeri jelas menunjukkan sikap dendam kesumat masih berterusan.

"Walaupun Perdana Menteri menyebut Satu Malaysia, dan rakan-rakan daripada Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional minta kita supaya memberi sambutan yang positif, saya hendak beritahu bahawa laungan slogan ini, slogan murahan yang tidak dituruti dengan amal,"jelasnya semasa perbahasan usul peruntukan semula peruntukan perbelanjaan 2009 di parlimen baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan mengapakah negeri-negeri tersebut didiskriminasikan dan akhirnya rakyat menjadi mangsa?

"Saya beri contoh, mengikut peruntukan per kapita mengikut negeri-negeri, negeri-negeri yang terbawah peruntukan, paling rendah ialah Pulau Pinang, kedua rendahnya Kedah, ketiga rendahnya Kelantan, keempat Selangor, kelima Perak. Negeri-negeri Pakatan Rakyat duduk di tahap paling rendah dari segi peruntukan Kerajaan Persekutuan.

"Apa alasan boleh diberikan? Terutama bagi negeri yang miskin seperti Kelantan dan Kedah, di paras yang begitu rendah peruntukan walaupun yang diuar-uarkan itu Satu Malaysia. Perak kerana semasa mereka merangka, mereka fikir mereka masih belum berjaya menawan, maka Perak daripada segi peruntukan per kapita - 230, Selangor - 221, Kelantan - 179, Kedah - 172 dan Pulau Pinang - 119,"jelasnya lagi.

Tindakan ini dianggap oleh Anwar sebagai satu diskriminasi dan rakyat menjadi mangsa.

"Mengapa harus dihukum rakyat begitu rupa? Saya tidak menafikan keperluan kita menambah peruntukan negeri-negeri terutama negeri-negeri yang miskin. Terengganu, mahupun kawasan Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Akan tetapi dasar yang jelas tidak telus dan menunjukkan dasar yang discriminative, gunalah KPI apa pun yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, KPI apa? Kalau kerangka dasar itu sendiri tidak menunjukkan kita mengambil sikap yang telus dan adil,"tambahnya sambil menempelak sikap kerajaan yang tidak adil terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Katanya, tindakan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, dan hanya terjadi setelah rakyat memilih Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan.

"Saya harap Kementerian Kewangan dapat meneliti dan memperbaiki kerana zalim kita untuk menghukum rakyat semata-mata kerana mengambil keputusan dan kebijaksanaan memilih parti atau calon yang mereka dukung.

"Semua yang memilih Pakatan Rakyat atau Umno-Barisan Nasional dikenakan dengan sistem percukaian yang sama. Maka peruntukan itu harus lebih telus dan adil,"tegasnya.

Tiada ulasan: