"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dari Shah Alam ke Kulim: Respon Buat YB Zul Nordin / UBN Najib Altantuya

YB KHALID SAMAD
Baru kini saya berkesempatan membaca tulisan YB Zul Nordin berhubung isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang juga telah dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia. Saya dapati tulisan dan anlisa beliau terhadap isu ini begitu lemah dan tidak profesional sama sekali. Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih teliti dan bertanggung jawab dalam tulisan beliau. Faktanya kesemuanya tidak tepat dan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah wajar bagi saya menjelaskan isu sebenar untuk makluman beliau dan mereka yang bersependapat dengan beliau.

Pada mulanya YB Zul menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan ‘demonstrasi kepala lembu’. Beliau secara jelas menyatakan ianya “tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al-Quran”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kelakuan liar segelintir yang hadir sesi dialog dengan MB, yang katanya “seperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun”.

Pada awalnya tulisan beliau kelihatan waras dan wajar.

Namun apabila terus membaca tulisannya, didapati beliau membela mereka dan menyalahkan pula kerajaan Negeri Selangor yang katanya ‘menceroboh’ tanah di Seksyen 23. Ummat Islam dikatakan sebagai ummat yang ditindas di bumi sendiri. Akhirnya amat jelas pendirian beliau adalah menyebelahi pihak segelintir penduduk tersebut dan sokongan beliau terhadap tindakan mereka sebenarnya mendedahkan pendekatan beliau sendiri terhadap orang bukan Islam.

Adakah Ahli PAS Terlibat?
Sebelum mengupas tulisan beliau dalam soal ini dan mendedahkan kesilapan dan prejudis beliau sendiri, biarlah saya nyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya ada seorang ahli PKR dan 4 ahli PAS yang terlibat di dalam demo tersebut hanya merupakan dakwaan semata-mata. Hingga ke hari ini tiada apa-apa bukti dikemukakan. Saya telah mencabar Hishamuddin untuk mengemukakan bukti dan sekiranya benar saya akan mendesak PAS supaya memecat mereka. Ini adalah kerana tindakan mereka seperti yang ditegaskan oleh YB Zul adalah “tidak dihalalkan dan ditegah oleh Al-Quran”.

Namun hingga ke hari ini, tiada apa-apa yang dikemukakan sebagai bukti. Amat pelik apabila YB Zul menzahirkan keyakinan dengan begitu padu terhadap laporan akhbar yang dikuasai BN.

Begitu juga dengan kenyataan YB Zul “ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah”. Bunyi betul-betul macam UMNO yang sedang gilakan perpaduan dengan PAS. Betul ke tiada perbezaan ‘akidah’ di antara PAS, UMNO dan PKR? Yang berbeza hanya wadah? Kalau begitu patutlah ada yang meminta kita bersatu supaya perbezaan itu selesai kerana yang berbeza hanya wadah. Nampak gaya selama ini YB Zul sendiri tidak faham mengapa PAS menentang UMNO dan mengapa PAS wujud sebagai PAS, tidak bersatu dengan UMNO.

Sebenarnya yang sama adalah semuanya Melayu, walaupun ada yang macam mamak atau yang macam cina. Mungkin bagi YB Zul, Melayu adalah akidah.

Hakikatnya isu ini didalangi UMNO. Pemimpin UMNO (Noh Omar) turun menghasut segelintir penduduk ahli UMNO tegar, penyokong Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, untuk bertindak menentang cadangan kerajaan walaupun belum lagi mendengar cadangan tersebut. Pemimpin UMNO juga (Hishamuddin) yang membela pendemonstrasi selepas demonstrasi berkenaan seperti yang sedang dilakukan YB Zul. Jangan nak libatkan PAS atau PKR. Usaha nak kaitkan PAS adalah taktik kotor UMNO.

Apa Arahan Kerajaan Selangor?
Menurut YB Zul, kerajaan Negeri Selangor keluarkan arahan “bina ‘kuil besar’ di Seksyen 23 di kawasan kediaman ummat Islam”. Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat beliau tetapi seperti biasa YB Zul cakap tanpa selidik. Hanya nak sensasi sahaja.

Kerajaan Selangor hanya mencadangkan tapak baru bagi kuil yang sediada di Seksyen 19. Bukan kuil baru. Kerajaan Selangor BN dulu cadangkan kuil tersebut dipindahkan ke Seksyen 18 (6 ekar untuk 7 kuil) pada awalnya dan seterusnya ke Seksyen 22 (1 ekar untuk kuil itu sahaja). Kami mencadangkan ia dipindahkan ke Seksyen 23, dalam kawasan Industri, bukan di kawasan kediaman ummat Islam. Rumah terdekat terletak 200 meter dari tapak cadangan tersebut. Luas tanah untuk kuil adalah ¼ ekar dan ¼ ekar lagi untuk tempat letak kereta.

Tiada ulasan: