"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuduhan Awang Adek terhadap Kelantan jauh tersasar- Husam

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 17 Sept: Dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin kononnya Kelantan tidak memberi kerjasama terhadap pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) dianggap tersasar jauh.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan sentiasa memberi kerjasama bagi membangunkan ECER di negeri ini.

Malah, katanya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai anggota jawatankuasanya sentiasa hadir pada mesyuarat yang diadakan di peringkat negeri.

"Kenyataan Awang Adek yang mendakwa Menteri Besar tidak hadir mesyuarat sebenarnya silap, bahkan mungkin dia mendapat gambaran yang salah.

"Mungkin orang berkenaan tidak hadir pada mesyuarat ECER yang diadakan, jadi dia tidak mendapat gambaran yang sepenuhnya," katanya selepas mesyuarat Exco, di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum ini Awang Adek yang juga bekas anggota parlimen Bachok mendakwa Kelantan tidak memberi kerjasama bagi melaksanakan program ECER di negeri ini.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, di peringkat negeri Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah Pengerusi Perlaksanaan Program ECER.

Menurutnya juga sebagai membuktikan komitmen tersebut, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dilantik sebagai urusetia khusus bagi melancarkan perjalanan ECER.

"Dari segi pengambilan tanah pula kerajaan menyerahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian untuk memudahkan proses pengambilan tanah," ujarnya.

Beliau juga berkata, pegawai ECER menyatakan puas hati terhadap kerjasama yang diberikan kerajaan negeri bagi pelaksanaan program ECER di Kelantan.

"Jadi saya menganggap kenyataan Timbalan Menteri itu hanya bersifat politik sementara menunggu waktu untuk berbuka puasa sahaja," ujarnya.

Tiada ulasan: