"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jabatan Penjara sudah ada pegawai untuk rotan Kartika

KAJANG: Jabatan Penjara Malaysia kini sudah mempunyai pegawai terlatih dan bersedia untuk menjalankan hukuman sebat pada bila-bila masa terhadap bekas model pelancongan Kartika Sari Dewi Shukarnor kerana kesalahan meminum arak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata hukuman itu akan dilaksanakan selepas Jabatan Penjara memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah.

"Bagi Jabatan Penjara, apa sahaja hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah oleh mahkamah kita akan laksanakan, cuma tarikh dan waktu hukuman itu dilaksanakan akan ditentukan oleh mahkamah," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perbarisan tamat latihan Kursus Sijil Menengah Pengurusan Penjara di sini hari ini.

Kartika, 32 tahun, dari Sungai Siput, Perak didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11.40 malam 11 Julai tahun lepas.

Pada 25 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata hukuman itu ditangguhkan kerana Jabatan Penjara tidak mempunyai kepakaran dan pegawai terlatih untuk melaksanakan hukuman sebat itu mengikut cara dan kaedah yang ditetapkan oleh syariat.

Abu Seman berkata Jabatan Penjara akan menambah seramai 6,000 anggota dan pegawai di seluruh negara bagi menampung jumlah penghuni penjara yang ramai.

"Kini nisbah pegawai penjara dan tahanan ialah seorang bagi setiap sembilan tahanan," katanya.

Beliau berkata lebih 35,000 penghuni kini berada di 39 penjara di seluruh negara yang menyebabkan ramai anggota Jabatan Penjara terpaksa bekerja lebih masa.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: