"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut cuba tangkap pencuri, Dr Lo' Lo' atur pertemuan dengan polis

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali meminta pengerusi penduduk Pangsapuri Murni, Keramat mengadakan pertemuan dengan pihak polis dalam masa terdekat ini untuk membolehkan mereka berbincang mengenai tahap keselamatan penduduk di pangsapuri berkenaan.

Ia berikutan kematian anak pelakon terkenal Norlia Ghani, yang jatuh dari tingkat tujuh pangsapuri berkenaan ketika cuba menangkap pencuri pada 27 September lalu.

Seperti yang dipaparkan dalam laman facebook beliau, sehari selepas kejadian itu, beliau menziarahi Norlia di tingkat empat pangsapuri yang terletak dalam parlimen Titiwangsa itu dan mendengar penjelasan daripada pengerusi penduduk yang dikenali sebagai Haji Marzuki berhubung detik-detik berlakunya kejadian itu.

Pertemuan itu dilaporkan berlangsung selama sejam bersama dengan wartawan melodi Nas Ahmad yang datang serentak dengan beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

ImageDalam pertemuan tersebut, Norlia dilaporkan merayu kepada Dr Lo' Lo' agar mengambil berat tentang tahap keselamatan penghuni di pangsapuri berkenaan yang sering berlaku kejadian jenayah seperti kecurian dan rompakan.

Gambar dalam facebook beliau turut memaparkan gambar beliau sedang menenangkan Norlia yang masih bersedih dengan kematian mengejut anak ketiganya itu.

Edi Rizal, 33 dilaporkan cuba menangkap pencuri yang menceroboh sebuah unit di tingkat tujuh Pangsapuri itu. Bagaimanapun tindakan berani itu meragut nyawanya sendiri apabila dia terjatuh dari bangunan itu.

Kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan Edi Rizal maut akibat tergelincir ketika mahu memanjat ke balkoni unit berkenaan.

Abang mangsa, Romiza, 36, dilaporkan sebagai berkata seorang lelaki dikatakan memasuki unit di tingkat tujuh dengan memanjat saluran paip dan Edi Rizal yang mahu menangkap lelaki itu turut berbuat demikian tetapi tergelincir akibat tidak dapat mencapai palang besi di anjung unit itu.

Edi Rizal yang masih bujang cedera teruk di kepala dan badan dan dihantar jiran ke HKL, tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Tiada ulasan: