Harakahdaily
TELUK INTAN, 19 Jan: PAS Perak kini mengesan satu usaha tersusun pihak-pihak tertentu untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya di Perak melalui pendaftaran pemilih berganda.
Antaranya adalah dengan mengarahkan semua anggota polis agar membuat kad pengenalan awam (IC) di samping mempunyai kad keanggotaan polis sebagaimana biasa.
Dengan cara ini, anggota polis berkenaan akan boleh mengundi dua kali iaitu satu menggunakan kad pengenalan polis dan satu lagi kad pengenalan awam.
Menurut maklumat yang Harakahdaily terima, dengan kad pengenalan polis, anggota berkenaan boleh mengundi secara pos manakala kad pengenalan awam melalui undi biasa.
Berita ini pula meletus ketika ura-ura pilihan raya akan diadakan secepat mungkin dan besar kemungkinannya penghujung tahun ini juga khasnya di Perak.
Semasa pilihan raya kecil Bagan Pinang, PAS hampir menarik diri dari pilihan raya kecil itu apabila mereka mengesan banyak nama berganda dalam senarai daftar pemilih.
Namun selepas didapati ia bukan berlaku di Bagan Pinang sebagaimana yang dihujjahkan balik oleh SPR, PAS meneruskan pilihan raya itu.
Ini bermakna, pendaftaran berganda ini mungkin dirancang sedemikian rupa khasnya di Perak.
Menurut sumber Harakahdaily, beliau secara tidak sengaja mendapat maklumat itu melalui perbualannya dengan beberapa pegawai polis di sekitar tempatnya dekat sini.
"Menurut pegawai balai tempat saya berjumpa itu, kesemua 14 anggotanya diarahkan agar membuat kad pengenalan biasa walaupun lambat lagi bersara. Kesemua mereka diarahkan membuat kad pengenalan itu di pejabat pendaftaran secara berperingkat," cerita sumber Harakahdaily itu.
Untuk mengesahkan perkara ini, sumber itu berhubung dengan Setiausaha kepada Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar iaitu Saudara Amran.
"Dia bagitau pada saya, mereka pun dapat maklumat tersebut malam tadi daripada polis daerah Manjong," beritahu sumber Harakahdaily itu.
Kedua-dua mereka membuat andaian, arahan membuat kad pengenalan awam untuk polis ini dibuat serentak ke seluruh negeri Perak kerana maklumat itu sampai serentak kepada kedua-duanya iaitu malam tadi.
Sehubungan dengan itu, mereka meminta PAS khasnya membuat siasatan penuh mengenai hal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan