"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki korek mata buaya untuk selamatkan diri

Seorang pemandu lori terpaksa bergelut dengan seekor buaya selama kira-kira 10 minit untuk menyelamatkan diri daripada menjadi habuan reptilia yang menyambar kakinya itu semasa beliau sedang mandi di Sungai Semada, Balai Ringin dekat Kuching, Sarawak semalam.

Mathias Winston, 37, dari Kampung Semada Belatok, kira-kira 40km dari pekan Serian mengalami kecederaan di paha kiri, betis dan tapak tangan kanannya selepas diterkam dan dihempas buaya yang 'mengamuk' itu.

Pada kejadian kira-kira pukul 6.30 petang, Mathias yang sedang mandi bersendirian di sungai, diserang buaya berukuran kira-kira enam meter panjang itu, yang pada mulanya menyambar bahagian betis kanan.

Isteri Mathias, Mira Dehim, 37, yang ditemui di Hospital Umum Sarawak hari ini berkata ketika kejadian beliau sedang memasak di rumah apabila beliau terdengar jeritan suaminya meminta tolong.

"Saya ingat suami saya akan mati. Buaya itu ganas dan menerkam kaki selain beberapa kali menghempas badannya. Saya terus tarik tangan suami, tapi buaya itu tidak lepaskan gigitan, saya hampir jatuh," katanya.

Mira berkata buaya itu melepaskan gigitannya hanya selepas Mathias mengorek biji mata reptilia itu.

"Suami saya cuba membuka mulut buaya untuk melepaskan diri namun gagal. Dia sempat capai bahagian mata buaya itu dan cuba mengorek biji matanya. Buaya itu kemudian melepaskan gigitan dan terus menghilangkan diri," katanya.

Mathias yang dibawa ke Hospital Serian kemudian dirujuk kepada HUS untuk lawatan lanjut.

Mira berkata ini merupakan kes kedua serangan buaya di Sungai Semada, di mana sebelum ini pada tahun 2008, pakciknya turut diserang seekor buaya tidak jauh dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di bahagian pinggang, paha serta tulang rusuk.


"Akhir-akhir ini, dua hingga tiga ekor buaya selalu timbul di sungai itu
pada sebelah petang. Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan agar kejadian serangan buaya tidak berulang," katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: