"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

OKU: Ketua Pesuruhjaya SPRM minta maaf kepada Karpal Singh

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Jan:
Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamad memohon maaf kepada Karpal Singh berikutan tindakan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM dikatakan menghina orang kurang upaya (OKU).

Begitu juga Peguam Kanan Persekutuan Persekutuan yang mengeluarkan kata-kata tidak baik terhadap OKU itu juga difahamkan telah memohon maaf.

Baru-baru ini, seorang Peguam Kanan Persekutuan didakwa mengeluarkan kata-kata menghina ke atas peguam Karpal Singh berkaitan dengan kecacatannya.

Ekoran itu, pelbgai pertubuhan OKU membuat bantahan terhadap penyataan yang dianggap menghina itu. Antaranya bantahan dibuat oleh Badan Latihan & Hidup Berdikari (ILTC), sebuah NGO yang mewakili orang kurang upaya.

ILTC membantah kenyataan Peguam Kanan Persekutuan berkenaan yang dianggap sebagai menghina OKU apabila beliau menghina Karpal Singh.

Berikut adalah kenyataan penuh SPRM yang dihantar kepada Harakahdaily yang dikeluarkan oleh Ps. Nurhasmah Mohamed Kassim bagi pihak Ketua Unit Komunikasi Korporat SPRM.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
----------------------------------
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada laporan media berhubung kenyataan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili SPRM dalam satu perbicaraan mahkamah pada 18 Januari 2010.

SPRM dimaklumkan bahawa Peguam Kanan Persekutuan tersebut telah menarik balik kenyataan yang dibuat dan permohonan maaf telah dibuat oleh beliau kepada individu berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM mewakili warga SPRM ingin memohon maaf di atas kenyataan tersebut dan tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam perkara ini.

SPRM juga merujuk kepada dakwaan Rakyat Anti-Diskriminasi ke atas OKU Malaysia (MADD) dan Badan Latihan dan Hidup Berdikari (ILTC) yang dikatakan terpaksa menunggu lama untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta ketiadaan pegawai SPRM untuk menerima memorandum tersebut.

Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM hanya menerima permohonan daripada ILTC berhubung penyerahan memorandum tersebut melalui faksimili jam 10.03 pagi pada 18 Januari 2010. Dalam permohonan tersebut, ILTC meminta Ketua Pesuruhjaya SPRM datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk menerima memorandum tersebut pada jam 11.30 pagi.

Namun begitu, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dapat hadir kerana pada waktu yang sama beliau menghadiri Majlis Perasmian MyID dan Mesyuarat Agensi-Agensi Sektor Awam oleh YAB Timbalan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Walau bagaimanapun, pihak SPRM Wilayah Persekutuan telah diminta untuk menerima memorandum tersebut bagi pihak Ketua Pesuruhjaya.

SPRM memohon maaf di atas segala kesulitan yang dilalui oleh pihak MADD dan ILTC dan akan memastikan perkara ini tidak berulang lagi.

IBU PEJABAT
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA, PUTRAJAYA
19 JANUARI 2010

Tiada ulasan: