"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berdakwah satu Kepuasan

1. Dewan Pemuda PAS Pusat baru sahaja selesai menyempurnakan lawatan kerjanya yang pertama ke negeri Sabah bagi sessi ini .

2. Selain pertemuan dengan anggota pemuda PAS Sabah , mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat Sabah [ SEPAKAT ] dan menyampaikan kuliah serta ceramah , kami juga turun ke padang menyempurnakan misi dakwah .

3. Pengalaman saya sepuluh tahun yang lalu masih segar dalam ingatan bagaimana kami dari team Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang turun mengedar risalah dan dakwah kepada masyarakat sempena sambutan tahun baru . Pada waktu itu , saya rasa sungguh malu dan segan melakukan aktiviti sebegini . Seolah - olah semua orang memandang ke arah saya . Akhirnya saya hulurkan risalah dan kemudiannya terus lari meninggalkan mereka terpinga - pinga menerima risalah .

4. Peringkat awal , saya sendiri berasa tidak selesa , janggal dan kerdil untuk menyertai operasi dakwah sebegini . Takdir Allah swt pada sekitar tahun 2004 sewaktu menyertai operasi dakwah dan amar makruf nahi mungkar ke Teluk Chempedak Kuantan , saya di beri pengalaman berharga oleh Allah swt yang akhirnya menjadikan saya lebih yakin , berani , gembira dan puas dengan aktiviti dakwah seperti ini .

5. Pengalaman berharga yang saya maksudkan itu ialah apabila salah seorang pasangan muda lelaki dan perempuan sedang bercekerama di celah batu besar di Teluk Chempedak menerima risalah yang saya hulurkan [ berjudul : Jauhi Gejala Sosial yang Negatif ] dan kemudiannya mengekori saya tanpa disedari oleh saya sendiri sehingga selesai operasi dan saya mahu pulang ke rumah , mereka memintas dan menahan kenderaan saya .

6. Permulaannya saya jangka mereka mahu belasah saya . Rasa berdebar dan resah tetapi bersedia menerima apa jua kemungkinan . Saya hanya seorang diri pada masa itu berpisah dari kumpulan untuk pulang ke rumah . Rupa - rupa pasangan anak muda tadi menerpa saya untuk meminta maaf sambil menangis dan mencium tangan meminta saya membimbing mereka ke jalan yang benar .

7. Semenjak itu , saya yakin , seronok , gembira dan puas jika sesekali berkesempatan menyertai operasi dakwah sedemikian dan ianya bertolak dari beberapa nokhtah nilai :

a] Saya dapat berinteraksi langsung dengan sasaran dakwah [ madu'u ] yang sebenar .
b] Islam dibawa keluar dari 4 penjuru dinding masjid dan surau .
c] Gembira dapat membantu insan yang leka dan lalai agar insaf dan sedar .
d] Mempertingkatkan skil dakwah dan memperhalusi method / uslub dakwah
e] Menghubungkan saya dengan pelbagai ragam dan karenah masyarakat
f] Menunaikan perintah Allah swt dalam berdakwah
g] Bangga dan puas apabila madu'u insaf dan bertaubat malah saya sendiri turut insaf

8. Insyaallah , Dewan Pemuda PAS akan terus mengaktifkan aktiviti dakwah dengan mempelbagaikan method . Satu kursus kejurulatihan dakwah akan diadakan untuk melatih petugas - petugas dakwah agar lebih seni , halus dan berkesan dalam membuat sentuhan dakwah kepada ummah .

9. Malah satu cabaran baru akan ditangani oleh Dewan Pemuda PAS kini ialah dakwah kepada golongan non muslim . Saya sifatkan ianya baru bagi Dewan Pemuda PAS kerana ini adalah pengalaman yang belum pernah diterokai secara rasmi dan serius sebelum daripada ini . Matlamatnya ialah untuk memberi gambaran yang positif mengenai Islam setelah sebahagian besar non muslim mengalami Islamophobia .

10. Kita adalah pendakwah bukan penghukum ! , pendekatan berasaskan prinsip ini akan digerakkan sepenuhnya . Insyaallah , pada 23 dan 24 hb January ini saya bersama Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan kembara dakwah melalui jalan keretapi dari Kuala Lumpur , Melaka , dan Johor dengan pelbagai aktiviti di sepanjang persinggahan atau stesen selama 2 hari . Siapa nak ikut ... jom dakwah !
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Tiada ulasan: