"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua surau di Muar jadi sasaran dibakar

Dua surau di Muar menjadi sasaran dibakar awal pagi ini - sebuah daripadanya rosak teruk.

Menurut polis, surau tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari satu sama lain.

Ketika dihubungi, timbalan ketua polis Muar, Lee Choon Guan berkata, kejadian pertama berlaku di Kampung Sabok Awor pada kira-kira jam 3 pagi manakala surau kedua menjadi sasaran kira-kira 46 minit kemudian.

Katanya, surau kedua itu rosak teruk dengan permaidani, pintu dan tingkapnya terbakar.

Menurutnya, di surau pertama, hanya tirainya terbakar dan cermin tingkap pecah.

Imam surau Kampung Sabak Awor, Haji Deris Sehan, 63, memberitahuMalaysiakini bahawa penyerangnya menggunakan minyak tanah untuk membakar tirai itu.

Katanya, seorang penduduk yang menyaksikan kejadian itu, terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, ACP Mohd Nasir Ramli ketika dihubungi Malaysiakini,berkata kebakaran di suraiu pertama itu disedari oleh tiga orang yang sedang menaiki sebuah kereta ketika lalu di situ pada kira-kira jam 2.30 pagi tadi.

Menurutnya, apabila ternampak kebakaran tersebut, mereka berhenti kereta dan bergegas masuk untuk memadamkannya.

Mengenai sama ada ianya satu bentuk serangan ke atas surau tersebut, beliau berkata, pihak polis masih menyiasatnya.

Sejak 8 Januari lalu, beberapa tempat ibadat- sebahagian besarnya gereja - menjadi sasaran serangan bom api dan perbuatan vandalisme.

Ianya dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang mengetepikan larangan kerajaan ke atas bukan Islam daripada menggunakan perkataan Allah sebagai terjemahan bagi perkataan 'God'.

Ekoran itu, mahkamah berkenaan memutuskan bahawa mingguan Katholik,
Herald, boleh menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Malaysianya.

Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan sementara menunggu selesai rayuan oleh kerajaaan terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau telah dimaklumkan mengenai insiden oleh ADUN DAP Bentayan, Gwee Tong Hing.

"Kita tidak tahu sama ada insiden itu ada sebarang kaitan dengan kes serangan ke atas beberapa tempat ibadat sebelum ini.

"Tetapi ia pastinya akan meningkatkan lagi keresahan di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata, DAP mengutuk keras sebarang perbuatan seumpama itu yang menurutnya jelas bertujuan untuk mencetuskan rasa syak wasangska antara masyarat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Kita menggesa pihak polis supaya mempertingkatkan lagi siasatan dan mekanisme pemantauan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab melakukannya, ke muka pengadilan, dan bagi mengelak insiden yang sama daripada berulang, demi memelihara kehidupan harmoni di kalangan rakyat kita," katanya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: