"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tubuhkan Jabatan Pendaftaran Pemilih

Zolkharnain Abidin

SPR melaporkan bahawa terdapat 4.39 juta pengundi belum mendaftar sebagai pemilih. Jumlah itu mewakili 28 peratus jumlah pengundi yang layak untuk mengundi. Maksudnya nasib negara ini hanya ditentukan oleh 78 peratus sahaja pengundi dan bukan semuanya.

Itu belum dikira mereka yang telah mendaftar tetapi tidak keluar mengundi. Jika jumlah kedua-duanya adalah separuh, bermakna masa depan negara ini hanya ditentukan oleh separuh daripada pengundi sahaja.

Ada berbagai kemungkinan mereka yang layak mengundi itu tidak mendaftar sebagai pemilih. Faktor kesedaran, lokasi tempat tinggal, pengetahuan dan tidak boleh ditolak dengan mudah faktor ‘enggan ambil tahu cerita politik’ juga turut menyumbang.

Diyakini, golongan muda menjadi golongan teramai tidak mendaftar sebagai pemilih. Secara mudahnya, golongan muda sekurang-kurangnya terdedah dengan pendidikan paling kurang sehingga tingkatan lima.

Kalau mereka yang terdidik sehingga ke tahap itu pun tidak punya kesedaran juga untuk mendaftar sebagai pemilih, sesuatu perlu dibuat demi masa depan negara ini.

Bukan berhasrat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi rakyat berhak bertanya. Tugas siapa sebenarnya mendaftar pemilih ini? Tukar SPR atau tugas parti-parti politik?

Adakah selama ini usaha SPR untuk mendaftar mereka yang layak mengundi sebagai pemilih telah mencapai tahap optimum? Atau, SPR bergantung kepada usaha daripada parti-parti politik untuk melakukan kerja itu?

Maksudnya, SPR hanya buat kerja itu apabila ia dimulakan oleh parti-parti politik. SPR hanya menunggu dan tiada inisiatif sendiri yang berkesan.

Sepatutnya SPR tidak boleh bergantung kepada parti-parti politik dalam kerja-kerja ini. Benar, SPR ada melantik petugas daripada parti-parti politik untuk membuat kerja ini yang sekali imbas mereka seolah-olah bekerja untuk SPR.

Sebenarnya mereka masih lagi pekerja parti politik dan bukan pekerja SPR. Situasi ini tentulah menjadikan mereka tidak bekerja dengan sepenuh hati kerana faktor imbuhan, masa, bebanan tugas dan sebagainya. Tambahan pula tugas hakiki mereka bukan mendaftar pemilih.

Kalau SPR masih seperti sekarang, sekadar menaikkan banner meminta orang ramai mendaftar sebagai pemilih, sekali-sekala pula keluar di TV, kemudian kesudahannya SPR beritahu orang ramai bahawa ramai lagi yang tidak mendaftar sebagai pemilih, SPR sebenarnya tidak buat kerja.

Bagaimana penyelesaiannya?

Jika kerajaan boleh mewujudkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya untuk menjaga keselamatan pengguna di jalan, pernah mewujudkan Lembaga Tembakau Negara untuk menguruskan hal ehwal tembakau, mengapa kerajaan tidak boleh mewujudkan Jabatan Pendaftaran Pemilih, atau Jabatan Hal Ehwal Pemilih, atau apa saja namanya?

Antara fungsinya ialah mendaftar pemilih baru, mengemaskini daftar pemilih yang sedia ada, memutihkan daftar pemilih, mempamer daftar pemilih, menguruskan bantahan daftar pemilih, mengeluar dan membekalkan daftar pemilih kepada pihak yang memerlukan dan banyak lagi.

Jabatan ini menjadi lebih mendesak untuk diwujudkan memandangkan setiap kali ada pilihanraya kecil atau umum, daftar pemilih menjadi pertikaian parti-parti politik. Bukan sahaja PAS, Umno pun pernah mempersoalkannya.

Urusan pendaftaran pemilih tidak boleh lagi hanya menjadi bahagian, sektor, atau unit sahaja di bawah SPR. Urusan ini perlu wujud jabatan tersendiri dan diletakkan di bawah mana-mana kementerian yang berkaitan, JPM misalnya.

Suasana politik negara semakin rencam. Perkara yang berkaitan dengan masa depan politik negara tidak boleh lagi diuruskan sambil lewa.

Semakin hari SPR semakin diragui kewibawaannya sebagai pengendali pilihanraya. Apa yang berlaku di Perak, di Kota Siputeh menggambarkan ketidakwibawaan SPR. Negara ini haru-biru sebahagiannya adalah angkara SPR.

Justeru, rombakan menyeluruh terhadap SPR perlu dibuat. Paling penting, tubuhkan dulu Jabatan Pendaftaran Pemilih.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: