"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad nafi tidak hormati Sultan S'gor

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menafikan bahawa beliau tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan mengheret instutusi di bawah naungan baginda, ke kancah politik.

"Saya ingin menafikan tuduhan tersebut, dengan sekeras-kerasnya. Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan DYMM Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

"Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggngjawab ini.

"Usaha untuk mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor, dilakukan oleh golongan ini, bukan saya," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Khalid begita demikian ketika mengulas laporan polis yang dibuat terhadapnya pada 18 Januari lalu oleh 16 NGO di Shah Alam yang menuduhnya tidak menghormati Sultan Selangor sebagai pemerintah dan sultan di negeri.

Khalid yang juga yang dipertua PAS Shah Alam turut mengulangi desakan supaya pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ditukar dengan mereka yang berpengetahuan agama, yang bebas dari kefahaman politik selain politik Islam.

Katanya ramai ulama yang berpengalaman seperti Daeng Sanusi Daeng Mariok, Datuk Ismail Kamus dan Datuk Haron Din, boleh diberi peluang untuk menerajui pentadbiran baru.

Mengulas tentang isu penggunaan kalimah Allah, beliau menyifatkan Enakmen Agama Bukan Islam 1988 sudah ketinggalan zaman dan perlu dibincangkan semula.

"Bagi pandangan saya, ya (ketinggalan zaman). Ia bercanggah dengan dakwah Islam," katanya ketika ditanya mengenai enakmen tersebut.

Bagaimanapun katanya, ia haruslah dibuka kepada perbincangan terlebih dahulu sebelum diambil sebarang tindakan selanjutnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: