Sebaliknya, pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pihaknya telahpun menjelaskan bayaran premium itu sejak 2001 lagi.
Ekoran itu, katanya, YBK sudah memiliki geran hakmilik bagi tanah di Serendah itu.
Dalam satu kenyataan Selasa lalu, Abdul Khalid mendakwa, selain gagal membayarnya, YBK juga gagal mengambil sebarang usaha untuk melunaskan pembayaran tersebut.
Mengulas lanjut mengenainya, Zainal Abidin bagaimanapun mengakui pihaknya menanggung tunggakan pembayaran cukai tahunan.
Menurutnya, jumlah tunggakan cukai tahunan mencecah kira-kira RM5 juta kerana tidak mampu membayarnya.
Zainal Abidin memberitahu, YBK memperolehi tanah tersebut selepas permohonannya diluluskan pada 1995 oleh menteri besar ketika, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Tanah tersebut, katanya, dimiliki oleh anak syarikatnya, Permodalan YBK Sdn Bhd.
Sebelum ini, YBK merancang untuk membina kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kawasan tersebut yang mengandungi tiga fakulti yang menawarkan pengajian peringkat ijazah dan sarjana dan mampu menampung kira-kira 5,000 pelajar
Bagaimanapun, rancangan itu terhalang ekoran usaha kerajaan Selangor sekarang yang mahukan Abdul Khalid yang juga ADUN Ijok, dilantik sebagai pengerusi yayasan itu.
Kerajaan negeri juga mahu tiga orang lantikannya, memegang jawatan ahli pemegang amanah YBK, jika tidak, pembinaan kampus itu di Serendah akan dihentikan. Bagaimanapun YBK enggan menerima berbuat demikian.
Mengulas lanjut Zainal Abidin berkata sehingga kini kawasan tersebut masih dalam keadaan hutan dan pihaknya tidak berhasrat untuk menjualnya.
"Tanah tersebut boleh memberi hasil sekiranya (kampus) UiTM dapat dibina (di situ)... Sebab tu kita nak majukan tanah tersebut.
"Kalau UiTM jadi (kenyataan), kerajaan Selangor berpeluang untuk mengutip cukai pintu yang bernilai berjuta ringgit. Kesannya, ekonomi negeri akan naik dan kawasan di Hulu Selangor akan bangkit," katanya.
Zainal Abidin berkata tanah di Serendah itu berstatus "tanah pembangunan berkelompok" dan "bukan tanah pertanian".
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan