Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa Umno kini dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga terpaksa mengadakan Program Juara Rakyat.
Beliau berkata, usaha Umno membuka kaunter daftar pemilih dan keanggotaan Umno pada setiap siri program Juara rakyat di seluruh negara adalah kerana mereka menyedari kemerosotan sokongan rakyat khususnya generasi muda terhadap parti itu.
"Juara Rakyat ini menunjukkan usaha terdesak Umno yang sedang dalam keadaan kritikal dari segi sokongan pengundi khususnya generasi muda," katanya ketika dihubungi Harakahdaily petang tadi.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut mendakwa Umno juga telah menyalahgunakan peruntukan kerajaan untuk menjayakan program tersebut.
"Juara Rakyat ini lebih kepada usaha mengambil kesempatan ke atas dana kerajaan untuk kukuhkan kedudukan Umno.
Semalam, Ketua Penerangan Umno,Datuk Ahmad Maslan berkata, usaha membuka daftra pemilih itu pada setiap siri Juara Rakyat itu adalah bagi membolehkan lebih ramai yang belum lagi mendaftar keanggotaan Umno dan pemilih dapat mendaftar segera, dan dapat menunaikan hak mereka sebagai pengundi.
Tuan Ibrahim berharap agar PAS memandang serius mengenai gerakan daftar pemilih terutamanya di kalangan anak-anak ahli dan penyokong parti bagi mengelakkan Umno mengambil kesempatan terhadap mereka.
"PAS perlu bersungguh-sungguh dalam isu daftar ahli dan pemilih ini kerana semua parti sedang berusaha menarik rakyat supaya mendaftar parti masing-masing.
"Pejabat Agung PAS juga mengambil inisiatif menggerakkan kempen keahlian an daftar pemilih ini," katanya.
Beliau turut mendakwa Umno sedang dalam proses memulihkan imej parti itu melalui program Juara Rakyat setelah terpalit dengan pelbagai isu yang menghakis kepercayaan rakayt terhadap mereka.
"Kita lihat program ini lebih banyak kepada usaha membaik pulih imej Umno.Tapi pada waktu yang sama rakyat melihat isu yang lebih besar yang sepatutnya ditangani oleh pemimpin Umno belum selesai.
"Sebagai contoh kos hidup rakyat yang semakin meningkat, rasuah yang berleluasa, kehilangan jet dan kes Menetri Besar Perak yang belum selesai,"ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan