"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tipu tanah: Mahkamah putuskan panel diketuai Eusoff Chin silap

PUTRAJAYA, Jan 21: Pemilik tanah kini boleh menarik nafas lega berikutan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengumumkan keputusan penting yang melindungi pemilik asal tanah daripada kehilangan tanah mereka kepada penipu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi memutuskan keputusan kontroversi pada 2001 dalam kes Adorna Properties lwn Boonsoom Boonyanit @ Sun Yok Eng, membenarkan pemindahan hak milik tanah secara penipuan adalah salah.

“Saya bertanggungjawab di sisi undang-undang untuk menggunakan semula undang-undang itu kerana kesalahan yang dilakukan dalam kes Adorna Properties adalah amat jelas dan terang.

“Ia merupakan fakta yang diketahui ramai bahawa pihak yang tidak bertanggungjawab telah mengambil kesempatan daripada kesalahan ini dengan memindahkan hak milik tanah kepada diri mereka sendiri secara tipu. Saya berharap dengan keputusan ini, pihak berkuasa tanah akan lebih berhati-hati apabila mendaftarkan pemindahan penama hak milik tanah,” kata Zaki.

Hakim lain yang bersidang bersama-sama Zaki ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan dua hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk James Foong Cheng Yuen.

Keputusan hari ini disambut baik oleh Pejabat Peguam Negara dan Majlis Peguam. Keputusan pada 2001 itu telah dikritik hebat oleh para pemilik tanah, pengamal undang-undang dan ahli akademik kerana ia membuka laluan kepada pihak tidak bertanggungjawab mendapatkan tanah secara tipu dengan memalsukan dokumen, mengakibatkan pemilik tanah berdaftar kehilangan tanah mereka melalui penipuan.

Tafsiran yang diguna pakai berhubung peruntukan dalam Tanun Tanah Negara oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin dalam keputusan pada 2001, melindungi pembeli hartanah itu, di mana nama pada geran tanah dipalsukan, mengakibatkan pemilik sebenar tanah itu tidak boleh berbuat apa-apa.

Impak daripada prinsip yang diguna pakai dalam kes Adorna Properties telah memberikan hak kepada nama pemilik berdaftar dalam geran tanah walaupun dokumen dalam proses pemindahan nama hak milik itu telah dipalsukan.

Dalam keputusan sebulat suara yang menngenepikan prinsip kes Adorna Properties, Arifin berkata panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini, semasa membuat keputusan kes Adorna Properties sembilan tahun lepas, telah tersalah tafsir Seksyen 340 (1), (2) dan (3) Kanun Tanah Negara dan dengan itu telah membuat kesimpulan yang salah. Beliau berkata tafsiran yang diguna pakai oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini jelas bercanggah dengan niat sebenar Parlimen dan kesalahan itu perlu diperbetulkan demi kepentingan semua pemilik tanah berdaftar.

Mahkamah diminta merujuk semula prinsip dalam kes Adorna Properties oleh peguam yang mewakili pihak-pihak dalam pertikaian tanah melibatkan seorang ahli perniagaan, Tan Ying Hong dan Cini Timber Industries Sdn Bhd dan United Malayan Banking Corporation Bhd.

Dalam kes itu, Tan merupakan pemilik berdaftar tanah seluas sembilan ekar di Kuantan, Pahang. Bagaimanapun, seorang penipu yang tidak dapat dikesan sehingga sekarang, telah memalsukan kuasa peguam bagi pihak Tan dan mencagarkan geran tahan itu kepada United Malayan Banking (kini RHB Bank Bhd) untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM300,000 bagi Cini Timber Industries.

Cini Timber gagal membayar pinjaman dan bank memulakan prosiding merampas harta daripada Tan sebagai pemilik tanah berdaftar.

Tan kemudian mengambil tindakan undang-undang untuk memohon pengisytiharan bahawa caj oleh bank itu tidak terpakai kerana mereka telah menggunakan kuasa peguam yang telah dipalsukan tetapi tuntutannya telah ditolak Mahkamah Tinggi pada 2003.

Beliau membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan Tan.

Mahkamah turut memerintahkan Tan dibayar RM75,000 untuk kos litigasi bagi prosiding mahkamah di mahkamah lebih rendah dan mahkamah persekutuan.

Sementara itu, di luar mahkamah, Ketua Bahagian Sivil di Pejabat Peguam Negara See Mee Chun berkata keputusan hari ini telah menyelesaikan isu kontroversi itu.

Katanya Pejabat Peguam Negara juga sedang mengkaji aspek lain termasuk meminda Kanun Tanah Negara untuk memberikan perlindungan lebih baik kepada pemilik tanah berdaftar.

Peguam Roger Tan, yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam berkata selepas menunggu selama sembilan tahun, pemilik tanah akhirnya mendapat jaminan yang hartanah mereka akan lebih selamat.

Beliau berharap mahkamah lebih rendah akan mengguna pakai prinsip baru itu apabila menghakimi kes pertikaian membabitkan tanah.

-Bernama-

Tiada ulasan: