"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judi sukan: GMJ akan hantar memo kepada Majlis Raja-Raja

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 16 Jun:
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja bagi menuntut kerajaan menarik balik lesen judi sukan yang telah dikeluarkan kepada Syarikat Berjaya Corporation.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen semalam, pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ akan berusaha untuk bertemu dengan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam masa terdekat ini bagi menyerahkan memorandum berkenaan

“Kita akan cuba untuk menyerahkan memorandum ini kepada Majlis Raja-Raja yang kebetulan akan bersidang tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, GMJ telah menyerahkan memorandum berkenaan kepada beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bagi diteliti untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

GMJ juga, ujarnya akan turut menyerahkan memorandum berkenaan kepada semua mufti di negeri-negeri agar mereka dapat mengeluarkan satu fatwa yang jelas mengenai pemberian lesen judi sukan itu.

“Memo juga akan diserahkan kepada mufti-mufti dan ahli-ahli Parlimen untuk diambil tindakan,” katanya lagi.

Memorandum berkenaaan juga mendesak kerajaan menjelaskan secara jujur kepada rakyat mengenai kenyataan yang dilihat bercanggah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menteri kabinet yang lain.

“60 NGO dalam GMJ menyatakan pendirian mendesak kerajaan membatalkan lesen judi ini dan mendesak kerajaan menjelaskan secara jujur kepada rakyat kenyataan mereka yang bercanggah antara satu sama lain. Ada yang kata sudah dikeluarkan, ada yang kata belum dikeluarkan lagi (lesen judi). Jadi rakyat mahu tahu mana satu kenyataan yang betul.

"GMJ turut mendesak semua kerajaan negeri menyemak semula kebenaran mengeluarkan lesen judi di negeri masing-masing dan mencontohi negeri Pakatan Rakyat.

“GMJ turut mendesak semua kerajan negeri menyemak semula kebenaran mengeluarkan lesen judi selain daripada negeri Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu memorandum berkenaan akan turut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di Putrajaya, 23 Jun ini sebelum mengadakan himpunan ke Istana Negara pada 3 Julai depan.

“Kita juga akan serahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada 23 Jun ini dan himpunan ke Istana Negara akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

“GMJ menyeru semua turun dengan memakai jersi dan membawa bola sepak untuk menunjukkan bahawa kita menyokong sukan tetapi menolak judi,” katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan, Salbiah Abdul Wahab dan beberpa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain.

Tiada ulasan: