"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perokok Melayu semakin ganas

rozmal
Umurnya 54 tahun. Dia merokok di surau, di hospital pula tu. Bila diberi notis kompaun, dia belasah pegawai kesihatan. Apa nak jadi Malaysia, makin maju dari segi fizikal, tapi makin mundur, makin jahiliyyah dari segi peradaban manusia. Mungkin JAKIM perlu keluar kitab Adab Merokok seperti di pautan berikut ADAB ROKOK

Pegawai kesihatan ini perlu diiktiraf sebagai Wira Malaysia atau Duta Tak Nak Rokok !

*************************

Perokok belasah pegawai

Berita Harian 15 Jun 2010

Tak puas hati kena notis kompaun merokok di surau hospital

ALOR SETAR: Seorang Pegawai Kesihatan Awam cedera akibat ditumbuk dan ditendang tiga lelaki yang tidak berpuas hati selepas dikenakan notis saman larangan merokok dalam operasi kesihatan awam di sebuah surau di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 54 tahun yang sedang menghisap rokok di kawasan larangan terkejut apabila tiba-tiba dihampiri seorang pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah, Yan berusia 25 tahun yang kemudiannya mengeluarkan notis kompaun menghisap rokok di kawasan larangan terhadapnya.

Akibat berang dikenakan tindakan itu lelaki berkenaan memanggil dua lagi rakannya yang berusia 40-an dan 50-an sebelum memukul mangsa bertubi-tubi menyebabkan muka dan badannya lebam. Difahamkan mangsa ditumbuk dua kali di muka dan ditendang di badan sehingga tersungkur sebelum menyelamatkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Cheng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu kelmarin. “Kami menerima laporan daripada seorang Penolong Pegawai Kesihatan Awam, Daerah Yan yang sedang menjalankan operasi larangan merokok di hospital berkenaan ditendang dan ditumbuk oleh tiga lelaki berusia antara 40-an hingga 50-an,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang memukul penjawat awam itu dan sedang menjalankan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

http://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan: