"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dinar Emas buat Umno jadi kalut

M Faqih
RAMAI orang jadi gila kerana emas. Isteri mengamuk apabila si suami tidak menghiraukan membeli barang kemas menjelang Aidilftiri. Bagi sang kekasih mesti menyediakan gelang atau cincin emas untuk merebut hati bakal isteri.

Emas juga membuatkan segelintir manusia bertindak ganas. Lihat laporan media, saban kali ada berita kedai emas dirompak.

Ada yang memecah masuk kedai menyimpan emas di kedai pajak gadai kerana mahu cepat kaya. Ada juga perompak ditembak mati angkara emas.

Sekarang menjelang raya, kedai-kedai emas dipenuhi orang ramai. Ramai perempuan mahu bergaya sambut raya dengan bergelang emas.

Tidak kurang juga ada yang terpaksa menggadai nyawa kerana emas. Mereka bekerja di lombong emas sebagai punca pendapatan keluarga. Tengok apa yang berlaku di Chile, baru-baru ini.

Seramai 33 pelombong terperangkap di bawah tanah, lapor akhbar antarabangsa 31 Ogos lalu. Rupa-rupanya mereka sudah terperangkap selama 25 hari dalam lombong emas yang terletak 800 km di utara Santiago.

Akhbar melaporkan kerja-kerja menyelamatkan mengambil masa tiga hingga empat hari bagi membolehkan pekerja dibawa naik ke atas seorang demi seorang.

Kedalaman lombong emas itu 702 meter. Keadaan udara lembap di lombong emas dan tembaga di San Jose menyebabkan ada pelombong dijangkiti kulat dan mengalami bengkak-bengkak pada badan.

Berdasar kepada risiko tersebut maka tidak hairanlah mengapa harga emas mahal di pasaran dunia. Risiko merupakan antara ciri istimewa yang ada pada emas.

Selain itu mudah dibahagi tanpa menjejaskan mutunya, mudah ditunaikan dan tidak boleh dibinasakan.

Berasaskan kepada kelebihan tersebut maka tidak hairanlah emas menjadi kegilaan ramai sejak dahulu sehingga sekarang.

Harga ayam kekal 1 Dirham

Di awal awal kebangkitan Islam sistem jual beli semuanya berasaskan kepada Dinar dan Dirham. Ia diperluaskan pada zaman Khulafa Al Rasyidin dan kemudian tersebar ke Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan Asia Tenggara.

Di kepulauan Melayu era kesultanan Melayu Melaka Dinar dan Dirham yang berteraskan emas dan perak digunakan sebagai mata wang.

Sejak dari awal tamadun Islam di zaman Nabi Muhammad saw sehingga ke hari ini seekor ayam tetap kekal pada harga 1 Dirham di kebanyakan tempat di seluruh dunia.

Dalam al-Quran diberitakan kisah Ashabul Kahfi menggunakan wang perak untuk membeli makanan selepas tersedar dari tidur. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Maka suruhlah salah seorang di antara kamu untuk pergi ke kota dengan membawa wang perakmu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang lebih baik. Maka hendaklah ia membawa makanan itu untukmu, dan hendaklah ia berlaku lemah-lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan halmu kepada seorang pun.”

Ayat di atas mengkisahkan pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun dalam sebuah gua. Kemudian telah menghantar salah seorang rakan mereka untuk membeli makanan dengan membawa wang perak.

Ini bermakna dalam tempoh 309 tahun, wang perak yang digunakan masih stabil dan mampu digunakan bagi membeli makanan.
Baca selanjutnya di sini

Tiada ulasan: