"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan PKR- Dato Zaid Ibrahim Tetap Wira walaupun Tidak Bertanding

WFAUZDIN NS

APABILA membaca kenyataan akhbar Dato Zaid Ibrahim terasa juga sedih dihati. Beliau merasakan seperti beliau tidak lagi disanjung atau dilupakan seperti yang pernah terjadi kepada Almarhum Tun Ghafar Baba. Ini berlaku bila mana beliau mengumumkan keputusan untuk
Justify Full
bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR di dalam pemilihan kali ini.

Memang benar ramai yang menyanjung Dato Zaid di atas keberaniannya menegakkan keadilan dan keluar dari parti Umno yang membusuk itu. Di atas kepercayaan dan sanjungan ramai itulah beliau diangkat menjadi calon PKR di dalam PRK Parlimen Hulu Selangor tidak lama dahulu. Sedangkan bukan sedikit yang mulanya tidak bersetuju di atas pencalonan Dato Zaid memandangkan ketika itu beliau `baru beberapa hari' menyertai PKR.

Namun kerana ketokohan beliau dan sikap beraninya keluar dari Umno, kita semua terus memberikan sokongan terhadap beliau secara bermati-matian walaupun akhirnya beliau tewas secara `anak jantan'.

Cuma, di dalam pemilihan kali ini tentunya berbeza kita menilai seseorang calon yang ingin bertanding. Apatah lagi jawatan Timbalan Presiden PKR adalah satu jawatan yang teramat penting. Jika ingin dibandingkan kesetiaan atau keberanian, anda sendiri boleh bandingkan kedua-dua tokoh iaitu Azmin Ali dan juga Dato Zaid Ibrahim. Sukar untuk mencari kekurangan di antara keduanya tetapi tentulah ada sedikit kelebihan salah seorang daripada mereka.

Berkaitan terdapat beberapa pihak yang berkempen memburukkan Dato Zaid mahu pun Azmin Ali, tentunya cara sedemikian tidak elok di dalam parti yang mendukung prinsip keadilan seperti PKR ini. Namun demikian, harus diterima hakikat bahawa setiap ahli di dalam PKR bahkan pemimpin mereka bukannya bersifat seperti Malaikat. Sudah tentu ada yang melakukan perkara yang negatif semata-mata untuk menaikkan tokoh yang mereka mahukan. Tetapi ini bukan satu hujah untuk Dato Zaid menyebut betapa beliau kini sudah mula dilupakan kerana jumlah yang berbuat demikian terlalu kecil dan tidak boleh mewakili kehendak semua ahli parti.

Selaku pemimpin yang sudah lama di dalam politik, tentunya Dato Zaid faham risikonya apabila berada di dalam sebuah wadah politik. Parti PAS yang dasarnya Islam itu pun terdapat golongan yang seperti Dato Zaid sebutkan. Justeru itu, Dato Zaid mestilah terus berusaha dengan jujur dan lebih gigih lagi untuk mendapatkan sokongan. Akhirnya ahli-ahli sendiri yang menentukan pemimpin yang mereka fikirkan layak untuk disokong.

Sedikit kesilapan Dato Zaid mungkin adalah kerana sebelum ini pernah berulangkali menyebut bahawa beliau tidak mahu kepada jawatan tinggi di dalam parti. Secara tiba-tiba beliau berubah fikiran walaupun beliau punyai alasan untuk mengubah fikirannya. Di dalam politik, mungkin alasan tertentu sukar diberi pertimbangan untuk ahli-ahli mempercayainya. Adalah lebih baik pemimpin itu berterus terang dan berani membuat keputusan.

Saya merasakan tidak benar sama sekali jasa Dato Zaid kini telah mula dilupakan. Beliau tetap seorang wira selagi beliau berada di dalam PKR, cuma belum tiba masanya untuk beliau berada di peringkat tertinggi sekarang. Seorang wira tidak semestinya berada di kerusi Presiden atau Timbalan Presiden. Jangan kisah Almarhum Tun Ghafar ingin dijadikan contoh, kerana pemilihan di dalam Umno jauh berbeza dengan pemilihan di dalam PKR. Jika ingin dijadikan contoh juga, sokongan terhadap DS Anwar ketika itu amat kuat kerana ketokohan DS Anwar ternyata lebih menonjol daripada Almarhum Tun Ghafar waktu itu. Bukan kerana Almarhum Tun Ghafar tidak dianggap wira Melayu, tetapi ketika itu Umno mahukan seorang pemimpin yang lebih dari itu.

Oleh yang demikian, Dato Zaid sewajarnya memikirkan kembali keputusan beliau untuk bertanding di kerusi Timbalan Presiden PKR. Jika beliau tidak bertanding, rakyat tetap menganggap beliau sebagai wira bahkan imej beliau lebih dipandang tinggi dan mulia selaras dengan janjinya dahulu untuk tidak memikirkan jawatan tersebut.

wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: