"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kedah salur RM700 ribu bantuan pelajar ke universiti

Mohd Shubihi Zain
YAN, 9 Sept:
Kerajaan Negeri Kedah menyalurkan dana berjumlah RM700 ribu pada tahun ini sebagai bantuan persediaan awal kepada pelajar-pelajar di negeri itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian awam (IPTA) di seluruh negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, jumlah keseluruhan pelajar di negeri itu yang menerima bantuan adalah menghampiri 3,000 pelajar bagi pengajian peringkat ijazah dan diploma.

Menurutnya, pemberian sumbangan tersebut adalah merupakan suatu pengiktirafan kerajaan kepada anak-anak negeri yang berjaya dalam pendidikan yang diceburi.

"Namun, bantuan pendidikan ini hanya diberikan kepada pelajar-pelajar dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dengan harapan bantuan yang sedikit ini berupaya meringankan bebanan keluarga.

"Untuk pelajar yang akan mengikuti pengajian di peringkat ijazah, mereka akan menerima bantuan yang berjumlah RM400, manakala peringkat diploma adalah sebanyak RM200," katanya pada ketika menyampaikan bantuan tersebut di Pejabat PAS Jerai, petang semalam.

Pada majlis yang sama, seramai 539 terdiri dari kalangan orang-orang miskin, mereka yang memerlukan dan guru-guru Pasti di seluruh kawasan Jerai menerima bantuan hari raya yang berupa hamper barangan keperluan harian dan duit raya dari PAS Kawasan Jerai.

Program kemasyarakatan yang sama juga turut diadakan oleh di kawasan-kawasan lain seluruh negeri Kedah menjelang ketibaan hari lebaran yang juga merupakan rutin tahunan PAS Negeri Kedah.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar dan pimpinan-pimpinan PAS Kawasan Jerai.

Tiada ulasan: