"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apabila khatib tumbang

Subky Abdul Latif
Telah berlaku di masjid saya solat sunat Idilfitri khatib ketika hendak memulakan khutbah tumbang, nasib baik beliau berpaut di dinding depan mimbar dan tidak jatuh tangga sebelah kanan mimbar.

Jemaah baris depan nampak khatib terhuyung hayang sebelum berpaut pada dinding mimbar meluru ke tangga mimbar memapahnya. Bantuan spontan menyelamatkan khatib daripada jatuh tangga.

Beberapa orang jemaah bangun memapahkan membawa turun dari mimbar, merawat apa yang patut di bilik imam.

Masalahlnya ialah bagaimana dengan khutbah kedua?

Tidak ada seorang imam pun di saf pertama dan saf kedua boleh berkhutbah secara spontan yang dapat memberikan khutbah secara professional tanpa teks atau dengan teks seperti biasa.

Nasib baik seorang jemaah yang ada pengetahuan tetapi tidak dipastikan apakah dia ada pengalaman berkhutbah.

Dia mencari teks khutbah kedua di sekitar kerusi itu. Teks itu tadinya di tangan khatib yang pitam itu. Tidak pasti teks itu dibawanya turun ke bilik atau terselit di mana-mana ketika khatib itu tumbang.

Khatib gantian itu tidak sembat membacakan doa untuk Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri. Dan teringat untuk mendoakannya, jika tidak biasa, tidak mudah untuk mengingat gelaran raja yang panjang dan nama Permaisuri Agong.

Walau pun mendoakan raja itu sunat tetapi ada khatib dan imam dipecat kerana dikatakan tertinggal mendoakan kesejahteraan raja.

Apapun hari itu adalah darurat.

Khatib itu sekadar pitam disebabkan salah makan sebelum solat sunat raya. Untuk solat raya Idilfitri jemaah elok makan dulu. Untuk solat Idiladha elok solat dulu, lepas itu baru sarapan.

Masalahnya mengapa tiada imam pengganti apabila berlaku kejadian itu? Masjid itu ada beberapa orang imam silih berganti. Apabila hari raya, habis semua balik kampung. Tinggallah seorang imam itu.

Nasib baik khutbah itu untuk solat sunat Idilfitri. Bagaimana kalau kejadian malang itu berlaku pada solat fardu Jumaat? Sudah itu ia jadi masalah yang boleh mencacatkan solat sekalian jemaah.

Oleh sebab semua imam membantu itu bukan imam rasmi atau yang menjadi kaki tangan majlis agama, maka payah hendak menghalang masing-masing beraya di kampung bersama keluarga. Apalagi mereka tidak meninggalkan masjid tanpa imam. Tidak siapa menyangka khatib boleh pitam.

Apapun masalah itu boleh diatasi dengan orang ramai mengambil tanggungjawab terhadap masalah bersama.

Nazir masjid boleh mengumum dan menyeru orang-orang yang berkelayakan untuk menjadi imam dan berkhutbah hendaklah berada di saf pertama atau saf kedua. Jika berlaku sesuatu hal, khatib yang sedang berkhutbah boleh menunjuk kepadanya untuk naik ke mimbar menggantikannya.

Atau dalam keadaan khatib tidak kenal atau tidak tahu siapa yang berkelayakan jika berlaku kejadian seperti itu, kerana dia duduk dekat dengan mimbar, maka dia secara spontan menggantikan kewajiban itu.

Sesetengahnya, kerana tawaduk atau kerana masalah masjid, hanya yang disukakan saja boleh jadi imam atau khatib atau bilal. Orang berpandangan lain tidak boleh. Mungkin ini menyebabkan mereka memilih duduk jauh dan tidak menunjukkan diri tentang keupayaannya.

Masalahnya jika kejadaian itu berlaku ketika khutbah Jumaat, tiada yang hendak tampil, maka apa akan jadi?

Oleh sebab hal ini tanggungjawab bersama, tidak usah takwil sangat tentang seorang itu bukan mazhab Syafie atau tidak bermazhab. Yang tahu, wajar duduk dekat mimbar supaya boleh menyelamatkan solat apabila berlaku kejadian seperti itu.

Tiada ulasan: