"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa sanggup lacurkan anak kerana rokok

Bapa sanggup lacurkan anak kerana rokok
Salah seorang anak perempuan suspek (kanan) yang menjadi mangsa lacur oleh bapa sendiri.
BATU PAHAT: Akibat ketagihan merokok, seorang bapa tergamak melacurkan anak sendiri semata-mata untuk mendapatkan bekalan rokok.

Kegiatan itu terbongkar apabila sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Daerah Batu Pahat menyerbu rumah suspek di Kampung Parit Gantung, dekat sini, sempena Ops Ambang Merdeka, malam semalam.

Timbalan Penguat kuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pihaknya menerima aduan penduduk yang memaklumkan mengenai kegiatan tidak bermoral yang sudah lama dilakukan di rumah tersebut oleh si bapa untuk mendapatkan bekalan rokoknya.

“Susulan maklumat yang diterima itu, kami lakukan serbuan ke rumah berkenaan.

“Keadaan pintu yang tidak berkunci dipercayai bagi memudahkan aktiviti keluar masuk ke rumah itu menyenangkan serbuan dibuat.

“Apabila masuk ke rumah itu, kami dapati anak bongsu suspek yang masih bersekolah di tingkatan lima di sebuah sekolah menengah dekat sini, sedang tidur bersama lelaki di ruang tamu rumah,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit adalah kenalan suspek.

Saiful Ariffin berkata, suspek dipercayai menggunakan empat anaknya yang berusia 17 hingga 25 tahun untuk memperoleh bekalan rokok.

“Berdasarkan aduan dan siasatan, kebanyakan lelaki yang mengunjungi rumahnya itu adalah pekerja ladang dan warga Indonesia.

“Semasa serbuan dilakukan, tiga lagi anaknya bersama isteri keluar menyambut Hari Kemerdekaan di sekitar bandar ini,” katanya.

Katanya, pasangan itu akan didakwa di bawah seksyen 27(1) a b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM3,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bapa remaja berkenaan turut didakwa dan akan diberi sesi kaunseling,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful Ariffin berkata, dalam ops sama, seorang wanita ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan dekat sini.

Katanya, wanita berusia 49 tahun yang juga ibu kepada tiga anak itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati terdapat dadah jenis syabu di dalam biliknya menginap.

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila menemui 'dapur' dan syabu di atas meja ketika melakukan pemeriksaan di dalam bilik wanita terbabit.

Menurutnya, ketika siasatan dilakukan, wanita terbabit memberi alasan baru pulang dari Melaka atas urusan kerja dan terpaksa menginap di rumah tumpangan tersebut kerana sudah lewat untuk pulang ke rumahnya di Senggarang.

“Pada mulanya dia tidak mengaku dadah itu kepunyaannya, namun segalanya terbongkar selepas pasukan polis narkotik menjalankan pemeriksaan ke atasnya dan mendapati dia positif dadah,” katanya.

Ops bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 5 pagi itu turut disertai pegawai polis dari Narkotik Batu Pahat yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Superintendan Zainal Murad.

Tiada ulasan: