"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sasar 29 kerusi Parlimen Felda

Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: PAS meletakkan calon di 29 daripada keseluruhan 54 kerusi Parlimen kawasan Felda semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.

Lima puluh peratus kerusi itu meliputi kawasan majoriti Felda di Johor, Pahang, dan Terengganu.

“PAS yakin boleh menang sekurang-kurangnya 16 kerusi daripada jumlah kerusi yang dipertaruhkan,” kata Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman kepada FMT.

Menurut Mazlan, antara kerusi Parlimen yang dijangka boleh menang adalah di Jerantut, Kuala Krau, dan Kulai, selain mempertahankan kemenangan tiga kerusi di Baling, Padang Terap dan Sik.

Sokongan meningkat

Mensasarkan undi golongan muda generasi kedua dan ketiga Felda, Mazlan berkata sokongan pengundi terhadap PAS dan PKR kini meningkat 45 peratus.

“Kami hanya perlukan lima hingga enam peratus lagi skongan untuk mencapai kemenangan.
“Bagi pihak PAS kalau campur dengan kerusi PKR kemungkinan boleh capai kemenangan maksimum 20 kerusi,” katanya.

Felda mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka; memiliki satu perempat daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen, serta 96 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Felda Plantation memiliki tanah seluas 341,000 hektar, majoriti di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.
Pakatan Rakyat semasa PRU12 berjaya menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN) di kawasan majoriti Melayu itu dengan memenangi lima kerusi iaitu Parlimen Tanah Merah (PKR), Sik (PAS), Baling (PAS), Padang Terap (PAS), serta Kulim-Bandar Baharu (PKR).

Menyentuh soal calon, Mazlan berkata beberapa pemimpin Anak dipilih bertanding, antaranya Nasaie Ismail, Yohanis Ahmad, serta Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat)Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Anak tempatan

“Kali ini PAS menampilkan calon anak tempatan yang punya kewibawaan dan latar belakang yang baik,” katanya yang berhasrat bertanding di Johor.

Mazlan semasa PRU12 bertanding di Parlimen Bera namun tewas kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dengan majoriti 4,313 undi.

Sementara itu, di Negeri Sembilan mempunyai empat kerusi Parlimen Felda, iaitu Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, dan Tampin.

Menurut sumber, PAS hanya akan bertanding dua kawasan iaitu di Jempol dan Tampin.

Manakala PKR dan PAS akan menempatkan semua calon di enam kerusi Dun Felda, iaitu Palong (PKR) Jeram Padang (PKR), Serting (PAS), Gemas (PKR), Lui (PAS), dan Pertang (PKR).

Tiada ulasan: