ARIF ATAN
Tular di media sosial sejak malam tadi pengakuan difahamkan isteri muda kepada Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri menerima hadiah kereta Audi Q7.
Menggunakan nama, "Datin Norhayati Abd Malek" pada akaun Facebook, usahawan barangan kosmetik terbabit memberitahu pemberian suaminya itu dapat diguna untuk "merayap" ke rumah beberapa rakannya di sekitar Kuala Lumpur.
"Kti (Kak Norhayati) dapat hadiah kereta dari En Somi (suami)" diikuti simbol wajah dengan mata lambang hati sebelum menyambung, "Audi Q7... bolehlah merayap rumah Zuraidah Yusof, Asikin Tajul, Saemah Mamat yang duduk area KL," seperti dipetik dari akaun Facebook beliau.
Walau bagaimanapun, semakan Malaysia Dateline pagi ini mendapati 'posting' tersebut yang turut melampirkan foto kereta berharga kira-kira RM600,000 itu telah dipadam manakala status Norhayati yang dimuat naik awal pagi tadi memberitahu dirinya sedang bersedih.
"Waktu sedih macam ni tiba-tiba teringat kat Kekanda Yang Teramat Mulia Tunku Soraya yang selalu bagi kekuatan kat kti," luahnya.
Sementara itu, bukti Norhayati isteri kepada Khairuddin dapat dikenalpasti apabila wanita berkenaan pada 15 Februari lalu memuat naik gambar pemimpin Pas yang memusuhi Amanah dan DAP itu berkemeja-T jalur merah jambu dan berkaca mata sedang bersiar-siar di kawasan berpasir bersama kanak-kanak dipercayai anaknya.
"Balik ganu (Terengganu) bila kita panggil depa (mereka) 'dik bagi akk (akak) air kelapa, depa tengok je muka kti lama-lama.. .
"Tak, saya memang kakak dari adik, saya isteri YB Kuala Nerus.. Terpaksalah berjela-jela dok terang kat depa bila depa beliakkan mata tengok kti," ujarnya yang difahamkan berasal dari Kedah mengikut profil beliau di Facebook.
Tindakan Norhayati mengumumkan hadiah yang diterima daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus di Terengganu itu dianggap ramai netizen sebagai melampau memandangkan statusnya sebagai isteri kepada pemimpin yang kononnya parti Islam.
Namun, ada juga yang dipercayai penyokong Pas menganggap tidak perlu berdengki dengan rezeki orang lain kerana Norhayati adalah seorang ahli perniagaan sebelum dibidas netizen bahawa Audi Q7 itu bukan dibelinya sendiri sebaliknya jelas dihadiahkan suaminya yang merupakan seorang wakil rakyat.
Kecenderungan menayangkan kereta mewah di Facebook itu mengulang perangai sama beberapa pemimpin Pas sebelum ini antaranya Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang, Ustaz Mokhtar Senik.
Mokhtar yang mutakhir ini kerap dilihat tampil di khalayak dengan jari kanan bertutup kain seperti pada Himpunan RUU 355 lepas turut memuat naik dua foto kereta mewah yang digelarnya 'kuda-kuda hitam' di Facebook, 14 Januari lalu.
Namun, itu bukan kali pertama dia yang pernah tiga tahun ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terbabit dengan kumpulan Al-Maunah berbuat demikian kerana pada 17 Disember 2015 Mokhtar dikesan memuat naik gambar kereta Mercedes miliknya di media sosial tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan