"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kontroversi doa Dusuki: Pas hina Sultan, umat Islam di Selangor

ARIF ATAN 
Kontroversi doa Dusuki: Pas hina Sultan, umat Islam di Selangor
Pas sudah sampai ke tahap menghina Sultan, institusi dan masyarakat Islam di Selangor apabila ada pemimpinnya mendakwa negeri itu “dijajah dengan suasana yang tidak cara agama.”

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim berkata, doa sempena sambutan 10 tahun Pas berada dalam kerajaan negeri itu jelas bercanggah dengan pesanan Nabi Muhammad saw agar umatnya saling mendoakan kesejahteraan.

“Dia menghina bukan saja Sultan bahkan semua orang Islam di Selangor. Antara pesanan Rasulullah kepada umatnya ialah sebarkan salam.

“Salam itu doa kesejahteraan. Kita dituntut mendoakan kesejahteraan.

“Tapi, bagaimana Pas mengambil pendekatan doa laknat terhadap saudara seagama? Ini perkara serius. Islam yang bagaimana Pas bawa?

“Apakah Pas sekarang ini hanya mahu mengheret masyarakat kita ke kancah kebencian, permusuhan dan penghinaan sesama Islam?” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Poster ini tular di media sosial ekoran doa Dusuki 17 Mac lalu.

Menurutnya, doa yang dipimpin Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani itu sebenarnya turut memperlekeh peranan mereka sendiri dalam kerajaan negeri.

“Sejak tahun 2008 lagi, Pas ada lebih kurang 6,000 pimpinan dan ahlinya yang memegang pelbagai jawatan daripada Exco yang juga memegang porfolio agama Islam sehingga di peringkat Adun, ahli majlis dan ketua kampung.

“Bahkan, sebahagian besar pentadbiran masjid dan surau di Selangor dikuasai oleh pimpinan dan ahli Pas.

“Jadi, mereka mempunyai ruang seluas-luasnya dengan peruntukan kerajaan negeri yang sentiasa bertambah. Banyak peruntukan dan ruang yang boleh dimanfaatkan untuk rakyat.

“Kenapa tiba-tiba sekarang Selangor boleh jadi “dijajah dengan suasana yang tidak cara agama”? Apa Pas buat selama 10 tahun ini? Mereka pun tidak mengikut cara agamakah?” bidasnya.

Lebih menghairankan, katanya, Dusuki sendiri seorang ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut mempunyai elaun dan kuasa untuk melaksanakan apa yang terbaik untuk rakyat.

“Apa yang dia buat selama ini selain doa yang melampau itu? Mesyuarat pun tercorot kehadiran,” tempelaknya.

Beliau juga menegaskan perbezaan daripada segi politik tidak harus dijadikan alasan untuk menghina dan mendoakan keburukan satu sama lain.

“Kita boleh berbeza politik kepartian. Berbeza kumpulan tidak harus memusnahkan silaturrahim antara satu sama lain. Kita hanya berbeza parti sahaja.

“Bila Pas mendoakan kehancuran kepada musuh politiknya jelaslah Pas sekarang menganggap siapa yang di luar Pas sebagai musuh Islam atau tidak beragama.

“Ini satu unsur pelampau yang dibimbangi boleh membawa kepada perbalahan dan permusuhan yang besar dalam kalangan masyarakat kita,” tegasnya.

Sehubungan itu, Izham berkata, Pas perlu kembali mengamalkan pendekatan budaya hujah jika benar mengaku sebagai parti Islam.

“Berbeza pandangan politik ini, kita berhujahlah. Hujah balas dengan hujah bukan dengan memainkan sentimen agama dan menghina orang.

“Pas sendiri kononnya membawa gagasan politik matang dan sejahtera. Macam mana nak matang kalau tidak boleh berhujah dengan pihak lain?” soalnya.

Menurutnya, rakyat sedang menilai peribadi pemimpin dan polisi parti politik mana yang membawa kebaikan dan kesejahteraan pada masa depan.

“Semua aspek ini diukur oleh rakyat untuk dipilih sebagai pemimpin tapi Pas tidak nampak kewajarannya untuk dipilih sebagai pemimpin.

“Kalau setiap hari berbalah dengan orang lain, memfitnah dan membawa unsur-unsur perpecahan, di mana kelayakan untuk memimpin umat dan negara?” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat perlu menolak unsur-unsur ekstremisme dan gejala takfiri yang menjadi mainan Pas ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir ini.

“Rakyat terutama di Selangor perlu tolak Pas. Kita beri peluang pada Pakatan Harapan yang berusaha membawa budaya politik lebih sihat,” tambah Izham lagi.

Tiada ulasan: