"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa cabar Zahid berdebat isu Sosma

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menawarkan diri untuk berdepan dengan presiden Umno bagi menjelaskan kewajaran kerajaan membatalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Kata Hanipa, melalui kaedah itu juga orang ramai dapat difahamkan mengapa Pakatan Harapan (HARAPAN) memilih untuk menarik balik pelaksanaan akta yang turut dikenali sebagai Sosma itu.

"Selain mendidik masyarakat, ia juga dapat menghapuskan kekeliruan yang cuba ditonjolkan oleh ketua pembangkang berhubung isu Sosma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memandang serius langkah kerajaan untuk membatalkan Sosma yang digubal oleh BN sebelum ini.

Kata presiden Umno dan ketua pembangkang tersebut Sosma digubal semata-mata bertujuan menjaga ketenteraman awam daripada anasir yang boleh menggugat keselamatan negara.

Ahmad Zahid yang juga bekas menteri dalam negeri menegaskan Sosma tidak langsung menyentuh soal politik individu.

"Antara elemen pentingnya ialah kesalahan yang menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warga takutkan keganasan, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Sosma ialah akta yang digubal di parlimen bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap mudah disalahgunakan oleh kerajaan.

Bagaimanapun kedua-dua akta tersebut dikecam kebanyakan parti kerana dillihat boleh dimanipulasi untuk tujuan politik.

Baca Bagaimana jika Malaysia jadi negara koboi?

Kata Hanipa HARAPAN sentiasa menghormati hak dan kebebasan Ahmad Zahid untuk menyatakan pandangannya termasuk dalam isu Sosma.

Menurut anggota parlimen Sepang itu hak seseorang untuk bersuara memang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru atas kapasiti rasmi saya sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, insya-Allah saya bersedia untuk berdebat ketua pembangkang berhubung isu Sosma tersebut.

"Saya yakin pihak media seperti RTM atau Astro Awani sedia menyiarkan perdebatan ini secara langsung di TV jika ketua pembangkang bersedia menyahut cabaran saya ini," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: