"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Patriot adu penulis surat CIA kepada polis

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menuntut bekas ketua bahagian penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hasanah Ab Hamid supaya menjelaskan suratnya kepada CIA.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata Hasanah melakukan kesalahan serius dengan menjemput pihak luar untuk campur tangan dalam hal dalaman negara.

“Hasanah telah lakukan jenayah yang amat berat... (tindakannya) boleh ganggu kedaulatan negara...

(Ini) pengkhianatan kepada negara. Kenapa dia sanggup jemput kuasa luar mencampuri urusan dalaman negara?

“Apa bentuk pertolongan yang diberikan oleh CIA jika direstui suratnya... akhirnya kita akan tunduk pada arahan dan telunjuk mereka,” kata Mohamed Arshad pada sidang akhbar di pejabat Patriot di Subang Jaya, hari ini.

Terdahulu, Patriot membuat laporan polis terhadap Hasanah di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya.

Patriot juga mempersoalkan kesetiaan Hasanah kepada negara dengan menulis surat itu dan bertanya sama ada beliau di bawah arahan pihak tertentu.

“Di mana letaknya kesetiaannya kepada negara? Adakah beliau tulis surat tu atas arahan pihak tertentu? Adakah beliau dapat imbuhan?

“Adakah beliau tulis surat itu atas ugutan? Apa yang beliau maksudkan bila dia kata Tun Dr Mahathir Momad anti-Barat dan anti-Semite?

“Apa perlunya beliau burukkan Mahathir,” soalnya sambil menambah bahawa tuduhan itu boleh menjejaskan komuniti perniagaan antarabangsa.

Malaysiakini, sebelum ini melaporkan lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

Surat itu dilaporkan ditandatangani oleh Hasanah, yang ketika itu adalah ketua pengarah bahagian penyelidikan.

Ia turut menyebut Mahathir yang berusia 93 tahun pada masa lalu merupakan seorang yang "anti-Barat, anti semitik, kuku besi dan mendiamkan kritikan melalui kekerasan, tidak mempedulikan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang."

Sebaliknya, surat itu mengatakan sepanjang sembilan tahun pentadbiran Najib, beliau menunjukkan rekod yang baik bukan sahaja dasar asing yang progresif tetapi juga menyumbang kepada keselamatan melalui penglibatan aktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini .

Najib menafikan mengetahui tentang surat itu, berkata: "Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudannya. Bukan semua surat kena lalu saya."
-malaysiakini

Tiada ulasan: