Ketua Eksekutif Facebook Inc Mark Zuckerberg kerugian AS$15 bilion apabila gergasi media sosial itu mengalami kejatuhan saham sehari terbesar dalam sejarah pasaran saham Amerika Syarikat (AS).
Kerugian itu dicatatkan sehari selepas eksekutif syarikat itu meramalkan marjin keuntungan syarikat akan lebih rendah dalam tahun-tahun mendatang.
Sekurang-kurangnya 16 firma broker mengurangkan harga sasaran ke atas Facebook selepas Ketua Pegawai Kewangan David Wehner mengejutkan penganalisis dengan menyatakan syarikat itu berdepan tekanan marjin keuntungan.
Penganalisis menyifatkan kenyataan itu sebagai 'bom' yang mencetuskan kebimbangan di Wall Street bahawa model perniagaan Facebook mungkin terancam selepas isu maklumat peribadi mencetuskan kebimbangan pelanggan.
Saham Facebook Inc jatuh hampir 19 peratus pada AS$176.26, mengurangkan lebih AS$120 bilion nilai syarikat atau hampir empat kali keseluruhan permodalan pasaran Twitter Inc.
Marjin Facebook jatuh kepada 44 peratus pada suku kedua berbanding 47 peratus dalam tempoh sama tahun lalu berikutan perbelanjaan besar terhadap aspek keselamatan dan inisiatif untuk meyakinkan pengguna bahawa syarikat itu melindungi maklumat peribadi mereka.
Facebook berkata, pertumbuhan pasaran dan aplikasi Instagram miliknya masih tidak mencukupi untuk memperbaiki kerosakan.
-Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan