Hakim-hakim di mahkamah Kuala Lumpur sudah beberapa minggu terpaksa mencuci tandas sendiri selepas pekerja pembersihan di kompleks berkenaan mengadakan mogok.
Menceritakan keadaan itu, salah seorang hakim kanan berang kerana beliau dan kakitangannya terpaksa membasuh bilik air sendiri.
"Di mahkamah saya, kakitangan saya telah membersihkan bilik mahkamah, koridor selama berminggu-minggu.
"Saya telah membasuh bilik mandi saya sendiri. Bayangkan saya membersihkan tandas saya di sini ketika saya tidak perlu melakukannya di rumah," kata salah seorang hakim Mahkamah Tinggi yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata.
Hakim berkenaan juga berkata beliau mungkin akan membawa pembantu rumahnya ke mahkamah untuk membersihkan bilik mahkamah dan untuk itu terpaksa membayar gaji tambahan.
"Kami mempunyai banyak dokumen, kertas kerja untuk diuruskan. Sebuah mahkamah yang kotor perlu dibersihkan. Saya berasa seperti saya berada di reban ayam," katanya.
The Star melaporkan, pekerja pembersihan mogok sejak bulan puasa lalu kerana mereka tidak menerima gaji meskipun kontraktor yang bertanggungjawab dikatakan sudah menerima bayaran daripada kerajaan untuk perkhidmatan pembersihan hingga akhir tahun ini.
Susulan itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menganjurkan gotong-royong yang melibatkan hakim dan kakitangan mahkamah Kuala Lumpur esok untuk membersihkan kawasan sekeliling kompleks kehakiman itu.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan