"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa dalam kem Rafizi?

Pertembungan antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat hampir tidak dapat dielakkan selepas bekas anggota parlimen Pandan itu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR September ini.

Azmin masih berahsia, namun lebih mudah untuk membayangkan menteri hal ehwal ekonomi itu mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2010 berbanding mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kedudukan nombor satu.

Yang pasti, dalam pertembungan yang disifatkan Rafizi sebagai antara ahli politik (career politician) dan reformis, bekas anggota parlimen Pandan itu memerlukan seberapa banyak sokongan yang ada.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi menunjukkan nada kempennya iaitu "mempertahankan idealisme reformasi" yang menjadi punca tertubuhnya parti itu.

Beliau juga membayangkan pasukannya dalam pemilihan kali ini adalah mereka yang tidak memegang kuasa, dengan kehidupan yang " tidak berubah sebelum dan selepas PRU ke-14".

"Saya tahu itu satu beban yang berat kerana saya bukanlah berjawatan kerajaan atau berduit," katanya.

Beberapa nama dispekulasikan berada dalam kem Rafizi termasuklah rakan sejawatnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah, yang pernah bersama Rafizi dalam pasukan sama pada pemilihan PKR 2014, dijangka akan mempertahankan jawatan naib presiden.

Nama lain yang turut dikaitkan berada dalam kem Rafizi adalah Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Selayang William Leong dan Anggota Parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Menurut sumber, ketiga-tiga nama ini juga dijangka bertanding jawatan naib presiden.

Dua lagi nama yang turut dispekulasikan berada dalam kem Rafizi ialah Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga Rodziah Ismail.

Fuziah dan Rodziah masing-masing dijangka akan bertanding jawatan ketua Wanita dan timbalan ketua Wanita.

Sementara itu, bagi jawatan sayap Pemuda, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar dispekulasikan akan bersama Rafizi.

Akmal dikatakan akan bertanding jawatan ketua Pemuda dengan Raymond dijangka menjadi timbalannya.

'Menyanjung di bawah'

Bermula minggu depan, Rafizi akan memulakan kempennya dengan mengadakan pertemuan dengan anggota PKR di seluruh negara.

"Saya sudi mendengar, ditegur, memohon maaf dan mencadangkan bagaimana kita mahu membina parti reformasi yang kekal dengan idealismenya.

"Serta menyanjung aktivis di bawah lebih tinggi berbanding tunduk kepada jawatan di atas," katanya.

Pemilihan PKR tahun ini dijangka bertumpu pada 'perseteruan' antara Rafizi dan Azmin yang mendominasi pergelutan dalaman parti itu sejak 2014.

Rafizi akan membuat pengumuman rasmi berhubung kempen dan pasukannya pada Ahad ini di Hotel de Palma, Ampang.
-malaysiakini

Tiada ulasan: