"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muafakat Nasional tidak seindah dibayangkan, Umno-Bersatu pula menunggu belah

AHMAD LUTFI OTHMAN
Asalnya Muafakat Nasional — gabungan longgar tapi mesra Umno-Pas — lebih cenderung kepada pilihan membubarkan Parlimen berbanding kerajaan tebuk atap, sejurus selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan perdana menteri, hujung Februari lalu.

Kedua-dua parti Melayu itu, dalam sidang akhbar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, mendedahkan pendirian mereka menarik balik sokongan kepada Mahathir kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan, yang turut mengandungi DAP.

Lama sebelum itu, Umno dan Pas percaya boleh mengambil alih kerajaan Persekutuan dalam PRU15, atas dakwaan majoriti pengundi, khususnya masyarakat Melayu tidak berpuas hati dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) kerana menyifatkan kedudukan Melayu-Islam semakin tergugat dan terancam.

Ditambah pula dengan sokongan pola pengundian pada PRU14, iaitu gabungan undi calon BN (Umno) dan Pas, untuk lebih kurang 30 kawasan Parlimen yang dimenangi PH, lebih banyak daripada calon bersimbolkan PKR itu. Ini bermakna, seolah-olah jika Umno dan Pas bergabung dan mengelak pertandingan tiga penjuru, 30 kerusi berkenaan akan direbut daripada PH.

Sekiranya Pas bersekutu atau bergabung dengan BN dalam PRU14, dengan andaian pengundi Pas tidak lari kepada PH, kerajaan BN dijangka tidak tumbang. Namun begitu, banyak penganalisis merasakan sokongan kepada calon Pas waktu itu turut dipengaruhi sentimen meluas anti-kleptokrasi kerajaan Najib Razak. Maknanya, jika Pas dilihat bersekongkol dengan BN, dijangka pengundi tradisinya akan menarik balik sokongan dan memilih pencabar terdekat regim itu, yakni PH.

Apa pun, untuk tujuan tulisan singkat ini, kita fokuskan kepada keupayaan dan kemampuan kerjasama antara Pas-Umno, menjelang PRU15. Apakah ia dapat bertahan kukuh, bagi mengekalkan kerajaan Melayu-Islam yang diperolehi secara pintu belakang pada awal Mac lalu, sekali gus bertambah keserasian dengan satu lagi parti Melayu, Bersatu?

Imaginasi saya pada awalnya, Umno mungkin lebih mudah membentuk persefahaman dengan Pas berbanding Bersatu. Walaupun perseteruan Pas dengan Umno sudah mengakar lebih enam dasawarsa, pendekatan parti Islam itu khususnya sejak 10 tahun lalu sudah berubah secara drastik.

Presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang, walaupun pernah mencetuskan amanat yang cukup kontroversi, yang memisahkan masyarakat Melayu akar umbi, tetapi beralih kepada pendekatan lebih lunak terhadap Umno. Semangat kemelayuan, sebagai bangsa dominan negara ini, ditambah faktor DAP yang diperlihatkan sebagai ancaman bersama, mempertautkan mereka.

Begitu juga dengan Umno, parti itu nampak lebih mudah serasi (dan senang menguasai) Pas, berbanding Bersatu. Parti bunga raya yang kini menguasai Kabinet Muhyiddin-Azmin, lahir daripada rahim Umno, manakala lebih separuh ahli Parlimen Bersatu, asalnya wakil rakyat Umno yang menang atas tiket BN. Kedua-dua parti itu berkongsi idealisme, sensitiviti dan mimpi yang sama. Masing-masing arif dengan kelebihan dan kelemahan sendiri.

Menanti bonus

Di peringkat awal penubuhan Kabinet, pemimpin-pemimpin Umno secara terbuka melahirkan rasa tidak puas hati dengan komposisi jemaah menteri itu. Wakil Bersatu lebih menguasainya sedangkan bilangan ahli Parlimen Umno jelas menjayakan penubuhan kerajaan pintu belakang.

Selain perdana menteri, yang secara tradisinya memiliki senarai kuasa yang panjang, dua daripada empat menteri kanan daripada Bersatu, hanya seorang Umno dan bakinya, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, menteri Bersatu juga bertaraf menteri kanan paling kanan, dan akan mempengerusikan mesyuarat menteri jika perdana menteri tidak berada dalam negara. Selain itu, portfolio strategik juga dimonopoli Bersatu, seperti pendidikan, luar bandar, komunikasi, wanita, malah kewangan yang disandang seorang senator tentunya atas pilihan perdana menteri.

Rata-rata pemerhati melihat Kabinet Muhyiddin-Azmin ini adalah bersifat sementara. Pemimpin Umno hampir setiap hari membangkitkan rasa tidak puas hati dan meluahkan kritikan terbuka terhadap prestasi menteri-menteri khususnya daripada Bersatu.

Target Umno lebih kepada PRU15, dan membentuk kerajaan bersama Pas, MCA, MIC dan GPS. Ujian paling sukar adalah menyelesaikan isu agihan kerusi di antara ketiga-tiga parti Melayu, terutama Umno-Bersatu.

Malah untuk mengagihkan kerusi sesama Pas dan Umno pun tidak mudah, khasnya di Pantai Timur dan Kedah. Ini kerana parti-parti tersebut tertumpu di konstituensi yang sama.

Selain Bersatu, cabaran besar menunggu Umno di Terengganu. Mungkin persefahaman lebih mudah dicapai di Kelantan memandangkan negeri itu dikuasai Pas sejak 30 tahun lalu. Sedangkan Terengganu hanya ditawan Pas pada 1999 dan bertahan sepenggal.

Pada 2018, faktor kemarahan terhadap regim Najib Razak begitu meluas. Kecaman terbuka Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said kepada kerajaan negeri Pas ekoran bantuan pusat melalui wakil-wakil rakyat yang tidak seimbang, membayangkan Muafakat Nasional juga bakal berdepan masalah besar. Dan ramai maklum perwatakan Ahmad Said berdepan saingan politiknya!

Justeru, saya percaya, kerjasama Pas-Umno yang dikatakan bakal memenangi PRU15 akan digoncang isu pengagihan sumber kerajaan. Sementara menunggu bibit-bibit keretakan Umno-Bersatu yang dijangka lebih parah, hubungan dalam Muafakat Nasional juga teruji.

Namun begitu, Pakatan Harapan tidak boleh sekadar menanti bonus, gabungan parti itu juga perlu bingkas selepas kecewa dikhianati dan tangkas menampilkan khidmat-sumbangan terbaik pada waktu negara menghadapi pandemik Covid-19. Rakyat akan membuat penilaian kritis berdasarkan rekod kerja kedua-dua gabungan parti.

Tiada ulasan: