"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amirudin bakal rampas kubu Azmin, Rodziah gempur kawasan Zuraida

FAZLI RADZI

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkenaan akan cuba merampas kubu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak 13 tahun lalu yang kini berada di pihak Perikatan Nasional (PN).

Sumber dalaman PKR turut memberitahu ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail pula akan diturunkan di Parlimen Ampang yang disandang Zuraida Kamaruddin sejak 2008.

Untuk rekod, Rodziah merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR serta memegang portfolio dalam kerajaan negeri Selangor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan.

Sumber itu mengulas spekulasi yang mendakwa bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar akan bertanding di Ampang manakala bekas Naib Presiden AMANAH, Husam Musa akan bertanding di Gombak di bawah tiket PKR.

“Yang saya tahu Rodziah nak bertanding di Ampang. Gombak pula Amirudin dan seorang calon bekas tentera.

“Terpulang pada mana yang Anwar Ibrahim (Presiden PKR) mahu pilih. Mana pula datangnya (spekulasi) Husam (yang akan bertanding),” katanya kepada Malaysia Dateline.

Melagakan PKR, AMANAH

Sementara itu, YouTuber, Iswardy Morni menegaskan keputusan muktamad mengenai pemilihan calon bertanding pada pilihan raya umum akan datang terletak pada Anwar.

“Spekulasi itu ada. Saya tidak menafikan. Tetapi yang menentukan calon bertanding adalah Presiden.

“Anwar tidak menentukan calon bertanding secara semberono. Keputusannya berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

“Jawatankuasa ini pula akan mendapat maklumat daripada setiap Majlis Perwakilan Negeri (MPN). MPN pula akan mendapat maklumat daripada setiap Cabang,” jelasnya secara langsung menerusi Iswardy Morni Official malam tadi.

Penyokong PKR dari Sarawak itu juga berkata, tiada sesiapa belum tentu menjadi calon di mana-mana kawasan melainkan setelah diberi watikah oleh Presiden parti.

“Kalau dilihat pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah lalu, walaupun 14 watikah dikeluarkan Presiden parti, akhirnya yang bertanding hanya tujuh,” tambahnya lagi.

Mengulas spekulasi pencalonan Husam untuk turun ke gelanggang PRU15 di Gombak, beliau dilihat sependapat dengan sumber dalaman PKR kepada Malaysia Dateline.

Iswardy menyifatkan wujud seolah-olah usaha mahu melagakan PKR dengan AMANAH selepas beberapa ADUN AMANAH melompat ke dalam PKR.

“Spekulasi Husam menyertai PKR sudah lama. Namun, buat masa ini tiada ketetapan Husam akan menyertai PKR lagi.

“Dan kalau dia menyertai (PKR) pun, belum tentu dia akan menjadi calon,” katanya lagi.

‘Talian hayat’ Azmin dan Zuraida pada PRU15 menarik perhatian banyak pihak selepas mereka mengkhianati Pakatan Harapan (PH) bersama sembilan ahli Parlimen PKR lagi dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu, Azmin dan Zuraida dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas enam bulan PN merampas Putrajaya daripada PH.

Tiada ulasan: