"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beratus hektar hutan ditarah selepas enam bulan PH Kedah tumbang

FAZLI RADZI

Hanya selepas enam bulan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Kedah tumbang, ratusan hektar hutan simpan diluluskan untuk ditarah.

Tular di media sosial papan projek Lesen Mengambil Hasil Hutan oleh pelesen Yayasan Islam Negeri Kedah kepada kontraktor Teik Meng Enterprise.

Tempoh berkuatkuasa lesen di Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang itu bermula dari 26 November 2020 hingga 5 Mei nanti manakala PH Kedah jatuh pada 12 Mei tahun lalu.

Mengikut laman web Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Hutan Simpan Bukit Enggang yang terletak di Sik ditubuhkan pada 1967 dengan mempunyai 16 Kompartmen kesemuanya.

Pada 12 Mei tahun lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ekoran itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila Pas menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Pejuang (dua), Umno (dua) dan Bebas (dua).

Sejak pertengahan tahun 2017, aktiviti pembalakan membabitkan lebih 500 hektar tanah di kawasan Hutan Simpan (HS) Bukit Enggang berlaku menyebabkan sumber air di tiga kampung berdekatan tercemar dengan sisa lumpur.

Kampung terlibat ialah Kampung Balong Ayam, Kampung Durian Burung dan Kampung Paya Terendam.

Kegiatan pembalakan secara tebang habis pada 2017 itu untuk tujuan projek ladang hutan di sebahagian HS Bukit Enggang melibatkan Kompartmen 12, 13, 14 dan 15.

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah sebelum ini mendakwa kawasan HS Bukit Enggang yang dicadangkan untuk projek ladang hutan adalah ditakrif sebagai hutan miskin.

Walau bagaimanapun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam kenyataan pada Disember 2017 menolak dakwaan tersebut kerana didapati sebahagian besar saiz kayu-kayuan yang ditebang berukuran lebih 55 sentimeter.

Tiada ulasan: