"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Lepas putus dengan Bersatu, Umno perlu yakinkan PAS'

Ramieza Wahid

Walaupun sudah memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu, pada masa sama Umno tetap memerlukan PAS - yang menjadi komponen Perikatan Nasional (PN) - pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Justeru penganalisis politik berpendapat Umno perlu meyakinkan PAS agar parti terbabit dapat lebih mengutamakan Muafakat Nasional (MN) berbanding PN.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Jeniri Amir dan pensyarah UTM Prof Madya Dr Azmi Hassan menyifatkan gabungan Umno dan PAS juga lebih kuat berbanding PAS dengan Bersatu.

“Kekuatan Umno dan PAS memang tidak dinafikan dari segi jentera dan akar umbinya.

“Kerjasama kedua-dua parti ini lebih menguntungkan dan sudah pasti memberi potensi kemenangan lebih besar. Sebab itu Umno harus meyakinkan PAS untuk hanya memperkukuhkan MN,” kata Jeniri kepada Malaysiakini.

Azmi pula meragui kemampuan Umno untuk berdepan PRU15 secara bersendirian setelah mereka memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Maka, setelah Umno putuskan hubungan dengan Bersatu, parti itu perlu yakinkan sekutunya PAS untuk hanya bersama MN,” katanya lagi.

Akhir bulan lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) untuk tidak lagi bekerjasama pada PRU akan datang.

PAS pula berpendirian kedua-dua parti itu perlu terus bersama.

"PAS akan terus memperkasa Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan PN," kata setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan.

Hari ini, Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran kepada rakan-rakan sekutu PN, khususnya PAS agar tidak membantu Bersatu di kerusi yang ditandingi Umno pada PRU akan datang.

Bagaimanapun Tajuddin berkata tidak mengapa jika PAS mahu membantu Bersatu di kerusi yang tidak ditandingi Umno.

Berhubung pengaruh pendirian PAS terhadap Umno, pemerhati politik Arif Anwar Lokmanol Hakim berkata ia akan memainkan peranan dalam keputusan muktamad parti itu menjelang PRU nanti.

“Tindakan PAS akan pengaruhi keputusan muktamad Umno (berhubung kerjasama).

"Selagi Umno memerlukan sokongan PAS, keputusannya pasti akan bergantung kepada parti itu juga," katanya lagi.

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya turut menyuarakan sentimen sama tetapi berkata PAS perlu memahami kesukaran untuk memulihkan keadaan antara Umno dan Bersatu.

“PAS perlu sedar bahawa Bersatu adalah serpihan Umno. Seperti mana Amanah dan partinya.

“PAS hanya mampu menasihati dan memujuk atau kemungkinan keputusan itu juga akan pengaruh Umno, namun dia harus sedar akan hakikat itu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: