"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ordinan Darurat: Persoalan sebelum ini akhirnya terjawab

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ordinan Darurat: Persoalan sebelum ini akhirnya terjawab, kata Kit Siang

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulas kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan yang mengatakan bahawa pengistiharan darurat oleh Muhyiddin kerana takut hilang majoriti di Parlimen, adalah contoh berita palsu.

Kit Siang berkata, persoalan yang diutarakannya sebelum ini akhirnya terjawab apabila Takiyuddin berkata mereka yang membuat tuduhan seperti itu akan dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah di bawah peruntukan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Kit Siang sebelum itu telah mempersoalkan sama ada tiga pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersama pakar nefrologi, Dr Rafidah Abdullah akan didakwa di bawah Ordinan Darurat berita palsu kerana mereka antara yang menolak alasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menganggap darurat adalah langkah Muhyiddin untuk menyelamatkan diri.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga pemimpin PH itu bakal berhadapan dengan penangkapan dan pendakwaan di bawah Ordinan Darurat.

“Ianya bukanlah berita palsu apabila mendakwa Islam akan terancam dan ditindas sekiranya Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD), biarpun 48 buah negara telah meratifikasi perjanjian itu.

“Tetapi ianya dianggap jenayah berita palsu jika mengatakan bahawa kerajaan Muhyiddin terpaksa menggunakan pengisytiharan darurat selepas kehilangan majoriti di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin berkata tuduhan dan andaian terhadap darurat yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Muhyiddin, boleh dikenakan tindakan serta pertuduhan mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No 2) 2021, yang berkuat kuasa hari ini.

Ordinan itu turut menetapkan denda sehingga RM100,000, denda sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya menyebarkan maklumat palsu berkaitan Covid-19.

Sementara itu, Kit Siang berkata, Malaysia sedang berhadapan dengan zaman yang paling gelap dalam sejarahnya, di mana Bahagian II Perlembagaan Persekutuan mengenai Hak-hak Kebebasan Asasi seseorang, kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpersatuan, telah hilang maknanya.

Tiada ulasan: