"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bapa bunuh diri lepas campak 3 anak dari atas lebuh raya

Malaysiakini 

Dua kanak-kanak meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah apabila mereka dicampak oleh seorang lelaki, dipercayai bapa mereka, dari atas Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Kepong awal pagi tadi.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata lelaki berusia 38 tahun itu kemudian juga turut terjun dari lebuh raya itu.

Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang saksi pada pukul 5.50 pagi tadi.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati tiga kanak-kanak dipercayai berbangsa Myanmar terdiri daripada seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun dan dua kanak-kanak lelaki berumur tidak pasti.

"Mereka telah dicampak dari atas Lebuhraya MRR2 ke bawah oleh seorang lelaki dewasa (38 tahun) juga dipercayai berbangsa Myanmar, yang dipercayai bapa mereka.

"Saksi telah menghampiri lelaki tersebut namun secara tiba-tiba lelaki tersebut terus mencampakkan kanak-kanak yang dikendong dan dipimpinnya dari atas lebuh raya ke bawah.

"Kemudian lelaki tersebut juga terus terjun dari lebuh raya," katanya.

Beh berkata, lelaki dewasa dan dua kanak-kanak mati di tempat kejadian, manakala seorang kanak-kanak yang cedera parah selepas jatuh ke semak di tepi jalan.

Lelaki dan kanak-kanak perempuan itu adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kata Beh lagi.

Doktor menjangka kanak-kanak yang cedera parah itu berusia kira-kira lima tahun.

Beh berkata dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Tiada ulasan: