"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemalangan maut: Ajal tiga sahabat

Rosli Ilham

am@hmetro.com.my

Dungun : Tiga sahabat maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabit kemalangan di Kilometer 80 Jalan Jerangau-Jabur dekat Kampung Talang Bukit Besi, malam tadi.

Dalam kemalangan 8.45 malam itu, Mohammad Hafiqzie Mohd Zukri, 14, Muhammad Salman Faris Samsu, 14, dan Muhammad Faris Haikal Mohd Faizal, 14, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi itu menaiki sebuah motosikal.

Mereka dalam perjalanan membeli makanan di sebuah kedai makan tidak jauh dari tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dari arah Bandar Al Muktaffi Billah Shah dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan dua pembonceng, Muhammad Hafiqzie dan Muhammad Salman Faris melambung dan tercampak di atas jalan.

"Penunggang motosikal, Muhammad Faris Haikal pula diseret kereta terbabit sejauh kira-kira 50 meter sebelum kereta itu terbabas ke dalam semak," katanya.

Baharuddin berkata, kesemua mangsa yang tinggal di Rumah Kos Rendah Bukit Besi itu maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.

"Urusan bedah siasat selesai kira-kira 2 pagi tadi sebelum jenazah diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian," katanya.

Katanya, pemandu kereta yang berusia 50 tahun serta isterinya yang berusia 45 tahun dan anak lelakinya yang berusia enam tahun cedera dan mendapat rawatan di hospital sama.

"Sementara seorang lagi anaknya yang berusia tujuh tahun tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tiada ulasan: