"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 polis trafik iring anak ahli politik dikenakan tindakan tatatertib

FMT Reporters

Tangkap layar klip video yang tular di media sosial menunjukkan dua anggota polis trafik mengiringi sebuah kenderaan dipercayai milik anak seorang ahli politik.

PETALING JAYA: Dua anggota polis trafik yang mengiringi anak kepada seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan motosikal polis sudah dikenakan tindakan tatatertib, menurut Hamzah Zainudin.

Menteri dalam negeri itu berkata, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Pulau Pinang telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota (polis) trafik itu kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.

“PDRM juga sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Terdahulu, Steven Sim bertanyakan status siasatan dan pendakwaan terhadap anak seorang Ahli Parlimen BN yang menyalah guna kemudahan pengiring polis trafik di Pulau Pinang pada Mei.

Sebelum ini, polis Pulau Pinang membuka kertas siasatan tatatertib terhadap dua anggota polis trafik itu berhubung kejadian ini.

Polis memaklumkan kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana membabitkan kesalahan menggunakan media sosial.

Klip video yang tular di media sosial itu menunjukkan kedua-dua anggota polis terbabit mengiringi sebuah kenderaan milik orang awam, dipercayai anak seorang ahli politik.

Tiada ulasan: