"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zafrul dilantik bendahari BN Selangor, selangkah jadi calon PRU?

Nora Mahpar

SHAH ALAM: Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilantik bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi BN Selangor, Noh Omar ketika berucap sempena Konvensyen BN Selangor, malam ini.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Yunos yang menyandang jawatan itu sejak 2019 bertukar portfolio sebagai ketua komunikasi BN Selangor.

Pelantikan Zafrul menguatkan spekulasi bahawa bekas tokoh perbankan itu bakal bertanding sebagai calon BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Zafrul yang dilantik menteri kewangan pada Mac lalu aktif menghadiri pelbagai program di kawasan berkenaan.

Parlimen Kuala Selangor kini disandang Dr Dzulkefly Ahmad.

Pada 18 Jul, Jamal menyatakan kesediaannya untuk berundur sebagai bendahari BN Selangor, bagi memberi laluan kepada Zafrul memegang jawatan itu.

Jamal dalam kenyataan berkata BN Selangor amat memerlukan seorang individu “heavyweight” seperti menteri kewangan itu bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Zafrul yang memakai baju rasmi BN disambut mesra para perwakilan sejurus tiba di Konvensyen BN Selangor kira-kira jam 8.15 malam.

Zafrul kemudian terus ke ruang dewan dan duduk semeja bersama pemimpin tertinggi BN dan Umno termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein.

Tiada ulasan: