"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Karya tin arak dan PAS: Mahkamah lepaskan Fahmi Reza

Hidir Reduan Abdul Rashid

Pereka grafik Fahmi Reza dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan menyalah guna rangkaian perkhidmatan dengan memuat naik karya sindiran kepada PAS.

Karya yang dimuat naik di Facebook pada 1 Jun tahun lepas menunjukkan gambar tin arak jenama Carlsberg dilagakan dengan tin minuman berlogo PAS dengan kapsyen “Carlsberg untuk semua”.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini membebaskan seniman lantang itu atas alasan pertuduhan terhadapnya cacat dan tidak berasas.

DNAA bermaksud seseorang itu boleh dituduh semula di mahkamah pada masa depan.

Keputusan hari ini disahkan oleh peguamnya Rajsurian Pillai yang dihubungi selepas prosiding di hadapan hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Peguam bela juga berkata mahkamah memutuskan supaya wang jaminan RM3,000 dikembalikan kepada Fahmi.

Karya kontroversi itu dipercayai dihasilkan sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa menteri PAS supaya peraturan kawalan jualan arak diperketat di Kuala Lumpur.

Fahmi dituduh bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar rangkaian perkhidmatan untuk menyakitkan hati orang lain.

Kompleks mahkamah Kuala Lumpur, gambar hiasan

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Fahmi telah banyak kali dihadapkan ke mahkamah susulan karya-karya pedasnya.

Antara yang popular ialah wajah bekas perdana menteri Najib Razak sebagai badut.

Fahmi 1 - 0 PAS

Sementara itu, Fahmi di media sosialnya terus menyindir PAS dengan menyifatkan keputusan hari ini sebagai “Fahmi 1 - 0 PAS”.

“Hari ni hakim isytihar pertuduhan ni tidak berasas, groundless dan cacat, dan gugurkan pertuduhan terhadap aku! 

“Wang jaminan akan dikembalikan. 

“Kepada pemimpin PAS, panas tak apa, koyak janganlah,” tulisnya dengan menggunakan tanda pagar #SatireIsNotACrime (satira bukan jenayah).

Tiada ulasan: