"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Larang ahli politik dari terlibat perolehan aset tentera

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Perolehan aset ketenteraan sebelum ini perlu disiasat dengan teliti dan ahli politik dilarang daripada terlibat dalam proses perolehan ini, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, Malaysia punya potensi menjadi hab pembuatan pertahanan namun terletak di lokasi panas apabila terpaksa berdepan dengan masalah pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan lanun di perairan Sabah.

“Pertahanan bukan soal main-main, kita ada ancaman lanun di Sabah, tersepit di Laut China Selatan, tetapi kita juga bukan negara kaya seperti China dan Amerika Syarikat yang berbelanja besar untuk pertahanan, jadi tak boleh habiskan banyak peruntukan,” katanya ketika sesi dialog pengundi muda Ayuh Malaysia bersama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di sini.

“Duit peruntukan bukan sedikit pun boleh makan berbilion, sebab itu Kementerian Pertahanan jadi lubuk curi duit,” katanya.

Rafizi mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk meneliti proses perolehan ini bagi menyelesaikan masalah berkaitan perlantikan kontraktor pertahanan tempatan.

“Lantik pakar dan bekas jeneral tentera yang pernah berkhidmat untuk negara serta negarawan dalam panel siasatan ini. Panggil mereka semula untuk membantu negara,” katanya.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan kelompongan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Siasatan mendapati tiada satupun daripada enam kapal itu siap walaupun bayaran lebih RM6 bilion sudah dijelaskan.

Rafizi juga mendakwa ada konflik kepentingan membabitkan ahli politik dan syarikat Boustead Naval Shipyard yang membina kapal itu.

Malah, Rafizi juga mendedahkan kepincangan kontrak perolehan meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) membabitkan peruntukan RM854 juta.

Mengulas mengenai dana kerajaan, Rafizi turut menyentuh isu geran untuk kajian dan pembangunan yang menurut beliau menjadi antara paling banyak membazirkan dana.

Ada peruntukan untuk geran kecil yang memfokuskan idea inovatif tetapi geran itu hanya mencukupi untuk di peringkat pembuktian konsep sahaja dan tiada geran tambahan untuk menjadikan idea itu satu kenyataan.

“Tiada satu pun idea ini berjaya akibat proses ini,” katanya.

Katanya, penting untuk mengenalpasti laluan berbeza untuk setiap individu yang mempunyai idea asli dan kemampuan untuk menempuh beberapa peringkat apabila menerima geran bantuan.

Tiada ulasan: