"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengejutkan, kata Fahmi selepas Rais Hussin masuk PKR


Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Penyertaan bekas pengasas bersama Bersatu Rais Hussin ke dalam PKR agak mengejutkan, kata Fahmi Fadzil.

Ketua penerangan PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai bagaimanapun merasakan tindakan Rais menyertai parti itu adalah usahanya bagi mengislahkan perjuangannya selepas kecewa dengan Bersatu.

“Keterbukaan beliau untuk meninggalkan parti yang beliau sendiri bangunkan kerana baginya parti itu telah hilang arah dan jauh menyimpang daripada perjuangan asal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Rais mengumumkan menyertai PKR seminggu selepas keluar Bersatu.

Minggu lalu, Rais yang juga bekas pengerusi biro strategi dan dasar Bersatu mengumumkan pengundurannya daripada parti itu.

Beliau tidak lagi aktif dalam aktiviti parti sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Fahmi berkata, beliau melihat keputusan Rais menyertai PKR sebagai perkara yang positif serta membuktikan bekas orang kuat Bersatu itu menerima agenda reformasi didukung PKR.

“Ia adalah langkah yang baik untuk menunjukkan beliau mengakui bahawa perjuangan keadilan ini ada makna, erti dan nilai serta beliau bersedia untuk mengislahkan diri selaras dengan perjuangan PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata tiada jaminan untuk mana-mana individu termasuk Rais yang baharu menyertai PKR dicalonkan parti pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman ketika dihubungi berkata, pemergian Rais ke PKR bukan sesuatu merugikan parti, namun tetap menghormati keputusan dibuat bekas pemimpin Bersatu itu.

Tiada ulasan: