"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pengacara TV mungkin cabar Nik Nazmi di Setiawangsa

Mohamad Fadli

Nurul Fadzilah Kamaluddin yang merupakan pengamal undang-undang sivil dikatakan mungkin mencabar penyandang kerusi Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA: Bekas pengacara TV Alhijrah, Nurul Fadzilah Kamaluddin mungkin bertanding di Parlimen Setiawangsa menentang penyandang kerusi itu, Nik Nazmi Nik Ahmad pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Fadzilah yang kini ketua Srikandi Muda Bersatu menjadi pilihan untuk parti itu menarik sokongan pengundi muda di kawasan berkenaan.

Sumber memberitahu FMT, Fadzilah merupakan calon paling sesuai untuk mencabar Nik Nazmi ekoran prestasi PKR yang semakin menurun sejak pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

Katanya, kajian dalaman Bersatu mendapati pengundi di Setiawangsa bosan dengan wakil rakyat mereka yang jarang turun padang menyelesaikan isu tempatan.

“Tugasnya adalah untuk memenangi hati pengundi muda yang merupakan majoriti kawasan bandar di Setiawangsa.

“Sebelum masuk ke bidang politik, Fadzilah pernah buat kerja aktivis kebajikan dalam badan bukan kerajaan. Beliau juga merupakan pengamal undang-undang sivil dan mempunyai syarikat guaman sendiri,” kata sumber.

Sumber itu juga berkata, sekiranya Fadzilah dicalonkan Bersatu, ini merupakan kali pertama parti itu mengetengahkan wanita muda sebagai calon.

Katanya, beliau juga mempunyai peluang untuk menang di kerusi itu kerana misinya adalah bagi menyelesaikan isu miskin bandar dan menyediakan perkhidmatan guaman kepada wanita yang berdepan masalah.

“Beliau mahu menubuhkan sebuah pusat khidmat guaman di Setiawangsa. Anak tempatan Setiawangsa ini dijangka mampu memberi saingan sengit kepada calon yang bertanding di kerusi Parlimen itu,” katanya.

Bagaimanapun, sumber itu berkata segala keputusan akhir terletak pada pimpinan pusat tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk memilih calon di Setiawangsa.

Pada PRU14, Nik Nazmi daripada PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Zulhasnan Rafique dengan 34,471 undi berbanding 20,099 undi diperoleh BN.

Kemenangan Nik Nazmi menyaksikan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Setiawangsa, yang dikuasai parti itu sejak tiga penggal lalu.

Tiada ulasan: