"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pilihanraya atau pilihan jalanraya, yang mana satu kita akan hadapi kali ini

DR SHAHNOR BASRI

Tarikh pilihanraya umum ke-15 tidak lagi menjadi tanda-tanya. Kelmarin 9 Oktober 2022 YAB Perdana Menteri telah mengadap sembah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sebelum keberangkatan baginda ke United Kingdon untuk menghadiri satu majlis bersama King Charles III dan majlis perasmian Stesyen Janakuasa Battersea (yang merupakan projek ikonik pelaburan Malaysia di United Kingdom). Baginda telah memperkenankan permintaan YAB PM supaya parlimen dibubarkan dan satu pilihanraya diadakan pada satu tarikh yang akan diurus oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

Pada masa sama yang tidak menjadi desas-desus adalah keadaan paras air Sungai Melaka di Batu Hampar telah melepasi paras bahaya, dengan bacaan 2.17 meter melepasi paras bahaya 2 meter. Sungai Kesang (3.26m), Sungai Duyong, Melaka Tengah 1.7 (Data Jabatan Pengairan dan Saliran pada jam 9 pagi, 10 Oktober 2022).

Jabatan Metreologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, beberapa daerah di Selangor dan Johor. Banjir telah melanda Rancangan Perkampongan Tersusun (RPT) Chepor, Perak dan mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Sri Klebang.

Di Kedah, paras Sungai Padang Terap telah melepasi paras bahaya iaitu 14 meter setakat jam 8 pagi. Baling mencatatkan bilangan mangsa yang telah dipindahkan seramai lebih 150 mangsa daripada lebih 140 keluarga.

Di Sabah diberitakan seramai 76 penduduk Kampong Ketiau dan Taman Sentosa, Putatan telah dilanda banjir tengah malam 10 Oktober. Pihak Bomba dan Penyelamat, agensi seperti Pertahanan Awam, Pasukan Polis dan Tentera sedang bertungkus lumus menyelamatkan nyawa dan membantu menyelamatkan harta benda rakyat. Umno/BN pula sedang bertungkus lumus untuk menyelamatkan nyawa kepimpinan mereka dan menyelamatkan kedudukan kekuasaan mereka untuk terus berkuasa. Tanpa peduli derita rakyat dan tanahair ini.

Cerita tentang Umno/BN memenuhi suasana sejak Khamis lalu (6 Oktober 2022) bermain teka-teki dan berpencak dengan YAB PM untuk menyegerakan piilihanraya dan parlimen dibubarkan segera. Hingga ke petang 9 Oktober 2022, berita yang membanjiri akhbar samada akhbar dalam talian atau cetak adalah YAB PM mengadap SPB YDPA untuk menyembah perkenan pembubaran parlimen dan MKT UMNO akan bersidang pada Isnin malam ‘katanya’ untuk memuktamatkan persediaan pilihanraya. Natijahnya seperti yang kita sedia maklum, parlimen telah dibubarkan. Banjir atau bencana yang melanda serta kesengsaraan yang bakal dihadapi rakyat, TOLAK KETEPI!

Rakyat sedang berhadapan dengan banjir dan banyak harta dan jiwa perlu diselamatkan tetapi Umno/BN apa kesah, pemimpin mereka yang mesti diselamatkan dahulu.

Dengan pembubaran parlimen dan PRU15 bakal diadakan dalam tempoh 60 hari, banjir besar yang diramal melanda negara seperti ramalam MetMalaysia dan Pusat Metreologi Antarabangsa, maka negara akan menanggung dua bebanan kewangan yang besar pada masa yang sama. Peruntukan perbelanjaan urusan Pilihanraya Umum (Pengurusan pusat mengundi, pengurusan kertas undi, urusan penamaan calon, emolumen lebih masa petugas, pengangkutan dan lain-lain perbelanjaan) dan kedua, peruntukan perbelanjaan menghadapi bencana (pasukan penyelamat, pusat penyelamat, emolumen lebihmasa pasukan penyelamat, bantuan makanan, hospital, perubatan dan belanja pemulihan pasca bencana).

Akan tetapi Umno/BN tidak peduli akan hal ini. Haram bagi sesiapa menyanggah permintaan mereka untuk menangguhkan sementara PRU sehinga negara stabil daripada fenomena ribut, angin kencang, hujan dan banjir besar. Mungkin agaknya dalam benak hati mereka persetankan ramalam bencana ini, teruskan pilihanraya, biarkan rakyat merana, biarkan hanya 50% rakyat yang dapat mengundi asalkan mereka menang dan berkuasa!

Pilihanraya bukan perkara lawak-jenaka. Ia adalah satu proses untuk membentuk kerajaan, memilih kepimpinan dan penentuan masa-hadapan yang adil, kebahagiaan rakyat dan good governance bagi rakyat. Jika hanya 50-55 peratus rakyat yang keluar mengundi maka kita tidak dapat satu angka yang diwakili oleh majoriti rakyat yang keluar mengundi, manakala Umno/BN sememangnya mahukan angka ini.

Pembentukan kerajaan dan kepimpinan yang adil dan berintegiti harus menjadi matlamat utama. Pilihanraya yang dicemari dengan sikap tergesa-gesa, kempen berbaur fitnah, pembunuhan karekter dengan tohmahan palsu, menunggang agama, meruntuhkan perpaduan dengan melontar kebencian kaum dan bangsa tidak akan membawa kebaikan kepada negara.

Umno/BN mahu PRU diadakan dalam apa juga suasana samada hujan-ribut, petir, bencana atau gempa bumi. Mereka tidak berminat kepada pilihanraya yang adil dan saksama, tanpa penggunaan jentera kerajaan, tanpa menggunakan media kerajaan dan tanpa taburan projek ‘mee segera’. Mampukan Umno/BN berkempen dengan sihat dengan menjauhi jauhi fitnah, penggunaan pencacai berbayar untuk menyebar parasit menghasut minda rakyat hingga terseleweng dari fakta yang benar. Mampukan Umno/BN berpencakkan di tanah yang sama-rata dan sama tinggi!

Penulis ragu Umno/BN akan bertarung sebagai anak jantan tanpa menggunakan kedudukan dan jawatan. Percayalah TV, Radio, Jabatan Penerangan, J-Kom, Kemas, masjid, sekolah, apa juga mekanisma akan digunakan demi memastikan mereka berkuasa. Lihatlah nanti berapa masjid, sekolah atau projek akan di’rasmi’kan berkali-kali dan tiang-tiang letrik akan mula dipacak di kampong dan desa tanpa wayar.

Calon-calon yang tak pernah menjengok masjid untuk solat berjamaah akan keliling desa solat berjamaah empat/lima kali di masjid/surau berlainan dan tidak lupa yang mengerjakan solat sunat selepas asar dan suboh.

Hujan ribut bukan masaalahnya, yang utama menang dan memerintah negara. Yang utama bukan negara yang terselamat tetapi pemimpin yang diselamatkan dari palitan salah guna kuasa dan rasuah.

Salah memilih maka rakyat akan merana dengan kerajaan perkauman sempit dan penunggang agama. Selamat mengundi dan memilih, buatlah pilihan yang benar berdasarkan maklumat dan fakta yang benar.

—–

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan.

Tiada ulasan: