"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'PAS dan Umno bertembung di 27 kerusi, paling banyak di pantai timur'

Haspaizi Zain

PAS berdepan kemungkinan akan kehilangan sebahagian besar kerusi yang dimenanginya sebelum ini jika pertembungan parti itu dengan Umno tidak dapat dielakkan di 27 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Malaysiakini difahamkan, pertembungan di 27 kerusi parlimen itu paling banyak di Kelantan dan Terengganu.

Menurut maklumat dalaman Umno dan PAS, 27 kerusi itu kebanyakannya dimenangi PAS pada PRU ke-14, namun berisiko dirampas kembali oleh BN.

Ini khususnya membabitkan kerusi yang dimenangi PAS dengan majoriti kecil, apatah lagi sebelum ini kerusi berkenaan disandang Umno BN.

"Ia termasuk beberapa kerusi tradisi Umno sebelum ini yang berjaya dimenangi PAS selepas pertembungan tiga penjuru dalam PRU ke-14 lalu.

"PAS tidak mahu kehilangan kerusi berkenaan kepada Pakatan Harapan (PH) jika bertembung dengan Umno.

"Manakala Umno pula melihat bahawa parti itu berpeluang untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PAS," kata sumber PAS kepada Malaysiakini.

Pertembungan antara PAS dan Umno di 27 kerusi parlimen yang juga mungkin akan memberi kelebihan kepada PH tampak sukar untuk dielak.

Ia selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Khamis mengumumkan bahawa parti itu membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Walaupun tidak jelas, keputusan yang dibuat PAS itu memberi gambaran bahawa parti itu menolak untuk meneruskan kerjasama dengan Umno dalam PRU ke-15.

Pada 29 Sep lalu, Malaysiakini melaporkan PAS sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 kerusi parlimen yang diyakini berpeluang cerah untuk menang pada Pilihan PRU15 akan datang bersama PN.

Menurut sumber parti itu, 30 kerusi berkenaan dikategorikan sebagai "kerusi hijau."

Daripada 30 kerusi itu hampir kesemuanya menyaksikan pertembungan dengan Umno namun lima kerusi bakal menyaksikan perebutan sesama sendiri dengan Bersatu.

Antara 27 kerusi parlimen bakal menyaksikan pertembungan antara PAS dan Umno ialah, Bachok; Pasir Puteh, Kuala Krai, Kota Bharu; Kuala Terengganu; Kuala Nerus; Pendang; Arau; Bagan Serai; Jerantut dan Bukit Gantang.

"Misalnya kerusi Bukit Gantang, Umno menang dalam PRU14 lalu sebelum wakil rakyat melompat menyertai Bersatu.

"Sebelum itu kerusi berkenaan dimenangi Naib Presiden PAS, Idris Ahmad. Sudah pasti PAS mahu merampasnya kembali dan Umno mahu mempertahankan kerusi tradisinya," kata sumber dari Umno

Tiada ulasan: