"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Konvensyen Pakatan Harapan dipercepatkan kepada 20 Oktober ekoran pembubaran Parlimen

BORHAN AHMAD

Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini mengambil keputusan untuk mempercepatkan Konvensyen Pakatan Harapan ke 20 Oktober berbanding 29 Oktober sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat oleh mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini dengan menetapkan konvensyen itu akan dikekalkan di Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan media sebaik sahaja selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan bakal menjadi platfom untuk Pakatan Harapan mempertontonkan kesediaannya untuk menghadapi pilihan raya umum ke 15 selepas Parlimen dibubarkan 10 Oktober lepas.

Dalam pertemuan dengan media hari ini, Fahmi juga memberitahu, Majlis Presiden PH akan membuat kenyataan berkaitan lain-lain hal termasuk permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membubarkan Dewan Negeri mereka serentak dengan pembubaran Parlimen.

Majlis Presiden juga, katanya, akan membuat pengumuman segera berhubung dengan permohonan Muda dan PSM untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Dalam masa 24 hingga 48 jam dari sekarang pengumuman mengenainya akan dibuat,” kata Fahmi.

Berhubung dengan dakwaan P Waytha Moorthy dari parti Malaysian Advancement Fahmi berkata, sepanjang yang beliau tahu tidak ada sebarang permohonan dari parti itu mahu bekerjasama dengan PH.

“Setahu saya, kita tidak ada menerima sebarang permohonan dari parti beliau untuk bekerjasama sebagai Muda dan PSM membuat permohonan kerjasama.

“Jadi kita tidak boleh buat apa-apa keputusanlah,” kata Fahmi.

Waytha sebelum ini berkata, partinya gagal dalam usaha untuk bekerjasama dengan PH.

Tiada ulasan: