"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH akan buat keputusan penting dalam mesyuarat petang ini

BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan dijangka akan membuat kata putus petang ini apakah permohonan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri itu serentak dengan pembubaran Parlimen dipersetujui atau tidak.

Majlis Presiden PH yang sedang bermesyuarat di Ibu Pejabat Parti Keadilan dekat Petaling Jaya juga dijangka akan membuat kata putus pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen mereka.

Mesyuarat ini juga dijangka akan membuat keputusan berkenaan permohonan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk turut bernaung di bawah banner gabungan parti itu.

Mesyuarat yang bermula jam 3 petang itu dipengerusikan oleh Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disertai oleh semua pimpinan utama PH termasuk Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Presiden UPKO).

Menurut sumber, Muda dan PSM dijangka akan diterima untuk bekerjasama dengan PH tetapi adalah mustahil untuk menyertai gabungan itu kerana ia memerlukan kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memaklumkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP membuat permohonan kepada PH untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri serentak dengan pembubaran Parlimen.

Ia berbeza dengan keputusan PH sebelum ini agar ketiga-tiga negeri di bawah PH tidak dibubar tetapi memberikan tumpuan kepada bantuan untuk mangsa banjir ekoran musim tengkujuh yang bakal tiba.

Pas juga telah membuat keputusan sebelum ini untuk tidak membubarkan ketiga-tiga negeri di bawah parti itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Tiada ulasan: