"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar hantar notis kepada ketua PAS Perak berkait dakwaan LGBT

K. Parkaran

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim menghantar surat tuntutan kepada Ketua PAS Perak Razman Zakaria berhubung dakwaannya pada satu ceramah bahawa presiden PKR itu akan mempromosikan LGBT, membenarkan perkahwinan sejenis dan menyokong agenda komunis.

Dalam surat yang dihantar semalam, Anwar memberi tempoh tujuh hari kepada bekas ADUN Gunung Semanggol itu untuk menjawab dan membayarnya RM5 juta kerana merosakkan reputasinya secara serius, beserta kos perundangan.

Beliau juga mahu Razman membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam media pilihan Anwar, dan jaminan bertulis tidak akan mengulangi dakwaan itu dalam apa jua bentuk; jika gagal, prosiding undang-undang akan dimulakan terhadapnya.

“Dakwaan ini adalah prima facie, palsu, aneh dan tidak masuk akal. Ini dikira berniat jahat memburukkan reputasi (Anwar) ketika kempen pilihan raya umum sedang berlangsung,” menurut kandungan surat yang dihantar peguamnya SN Nair.

Dalam surat yang dilihat FMT, Nair berkata, Razman juga mendakwa jika orang Melayu mengundi Pakatan Harapan (PH) bermakna mereka menyerahkan kerajaan kepada DAP.

Beliau berkata, dakwaan dibuat oleh Razman, yang disiarkan di akaun Facebooknya dan kemudian diterbitkan oleh Malaysiakini, bermaksud atau membawa maksud tersirat, antara lainnya, bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, seorang penipu dan pengkhianat, serta bukan orang Islam yang baik dan bersifat munafik.

Anwar berkata, ini telah menyebabkan reputasinya rosak teruk kerana catatan Facebook Razman menarik lebih 43,500 tontonan, 1,000 komen, 3,100 reaksi dan 256 perkongsian pada masa surat tuntutan itu dihantar.

FMT telah menghubungi Razman untuk mendapatkan komen.

Minggu lepas, Anwar menghantar surat tuntutan yang sama kepada bekas ahli PKR Faizal Effendi Hasim kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya melalui akaun TikToknya @mr_ari11.

Tiada ulasan: