"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH bakal sapu 11 kerusi di KL, 19 di S’gor dan N Sembilan - Rafizi

Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 19 di Selangor dan berpotensi untuk meraih 13 hingga 15 kerusi di Johor pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Menurut calon Pandan dari PH itu, berdasarkan data dari syarikat tinjauan awamnya, Invoke Malaysia, keputusan itu dapat menjadi realiti sekiranya gelombang pengundi kekal seperti sedia ada.

Ini kerana katanya, gelombang pengundi pada hari penamaan calon semalam sama seperti dua minggu sebelum PRU ke-14, yang menyaksikan tumbangnya kerajaan BN.

Bercakap kepada kira-kira 500 hadirin pelbagai bangsa pada malam tadi di ceramah Ayuh Malaysia di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan, Selangor, Rafizi berkata, selain Negeri Sembilan, data yang diperolehnya menjangkakan PH mampu mempertahankan kerusi-kerusi di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“InsyaAllah kerusi-kerusi di Wilayah Persekutuan, 10 kerusi kita akan berjaya pertahankan dan kalau kena cara, boleh sapu bersih semua 11 kerusi wilayah persekutuan.

“Selangor kena push sikit lagi, InsyaAllah… Tapi Selangor gelombang datang dari Selangor. Saya tak bimbang, kita (dalam) keadaan baik untuk menang 19 ke 20 kerusi dari 22 kerusi.

“Tambah dengan perpecahan dalam Umno, (pengerusi BN Selangor) Noh Omar menangis tiap malam,” katanya yang merujuk kepada Noh, merupakan di antara pemimpin veteran Umno yang tidak dicalonkan bagi kerusi mereka.

Dia berkata, untuk PH meraih kerusi di Melaka dan Johor, gelombang sedia ada perlu ditambah baik lagi.

Kenyataannya itu disambut dengan sorakan daripada orang ramai yang rata-ratanya tekun mendengar ceramahnya yang berkisarkan isu-isu ekonomi negara dan cara penyelesaian yang terbaik.

Kerusi Rembau bukan kerusi selamat Mat Hassan

Mengulas lanjut berhubung dapatan kajian itu, dia turut memberi peringatan kepada calon BN di Rembau, Mohamad Hasan yang bertanding di situ.

Rafizi mengingatkan agar Mohamad berhati-hati kerana menurutnya, ia bukanlah kerusi selamat buat BN, selepas memindahkan penyandangnya Khairy Jamaluddin ke Sungai Buloh.

Menurut Rafizi, percaturan Umno dengan memindahkan menteri kesihatan sementara itu di Sungai Buloh bakal menjerat diri sendiri.

“Dari gaya sekarang, Negeri Sembilan kita sedang mendahului dan kalau ada kejutan besar, kalau kena cara, kejutan besar itu akan datang dari Negeri Sembilan.

“Jadi Tok Mat (Mohamad), hati-hati. Rembau tak selamat… Yang paling sedih untuk Tok Mat, kalau campak KJ pergi Sungai Buloh, dia ingat dia selamat, dia kalah kat Rembau,” katanya yang mendakwa bahawa sokongan di Negeri Sembilan terhadap PH lebih baik berbanding PRU pada 2018.

Namun katanya, pada masa sama usaha untuk merampas semula Perak masih dipergiatkan, dengan presiden parti, Anwar Ibrahim yang juga calon di Tambun sedang mengusahakan langkah tersebut.

“Kita juga akan lihat beberapa pertambahan kerusi yang sebelum ini tak pernah dimenangi PH di Perak.

“Maksudnya negeri-negeri kubu PH - Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kini Negeri Sembilan, Insya-Allah selamat hari pertama ini.

“Maksudnya, kita sekarang angka lebih kurang 80 kerusi parlimen,” katanya.

Antara pimpinan PH yang hadir menyampaikan ceramah ringkas mereka merupakan antara calon-calon PKR - Rodziah Ismail (Ampang), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), dan Amirudin Shari (Gombak).

Turut hadir penyandang dari PH Bangi Ong Kian Ming yang akan digantikan oleh Syahredzan Johan.

Rafizi menggesa supaya pengundi turun mengundi, dengan berkata bahawa ia bukanlah soal kuasa tetapi ia berlandaskan tumpuan untuk membaiki segala kerosakan yang berlaku, sebagai satu pasukan.

“Kita juga kena yakinkan rakya bahawa kita ada rancangan, ada idea yang boleh kita selesaikan satu persatu supaya rakyat yang masih atas pagar ini akan beralih,” katanya.

Tiada ulasan: